Pelihara sumber perhutanan negara kita

Pelihara sumber perhutanan negara kita

AKTIVITI seperti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan perlu giat dijalankan oleh semua pihak dalam memastikan khazanah negara sentiasa terjaga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TIDAK dinafikan beberapa kawasan hutan di rantau Asia sering menjadi ancaman kepada kegiatan pembalakan haram, pembukaan kawasan hutan untuk pertanian serta pelbagai lagi aktiviti guna tanah. Walau bagaimanapun, pelbagai inisiatif diambil oleh pihak penguasa tempatan berkaitan perhutanan dalam mencegah perkara ini berlaku, walaupun menghadapi cabaran termasuk berdepan dengan pelbagai persepsi daripada masyarakat kita.

Kepentingan hutan bukan sahaja untuk mengekalkan flora dan fauna, terdapat banyak sumbangan hutan secara langsung mahupun tidak langsung kepada manusia sejagat atau alam sekeliling.

Oleh itu, aktiviti seperti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan perlu giat dijalankan oleh semua pihak dalam memastikan khazanah negara ini sentiasa terjaga.

Hutan merupakan sumber penjanaan pendapatan penting negara melalui penuaian hasil seperti sumber kayu dan bukan kayu. Ini termasuklah kayu balak, rotan serta tumbuhan herba.

Herba sedikit sebanyak turut menyumbang kepada penjanaan pendapatan pertanian negara. Jadi, penting untuk kekalkan sumber herba asli hutan.

Hutan penting untuk industri pelancongan dan rekreasi. Selain itu, aktiviti sebegini menjana hasil besar untuk komuniti setempat melalui yuran, malim gunung dan perkhidmatan yang berkaitan.

Bukan mudah untuk memberi pemahaman kepada masyarakat berkaitan peranan hutan namun, tidak mustahil untuk dilakukan.

Antara kaedah yang boleh dilakukan termasuklah perkongsian mengenai amalan perladangan dan penuaian hutan secara mampan yang dijalankan di negara kita.

Penuaian secara mampan ini perlu dikongsi melalui media massa dari semasa ke semasa agar semua lapisan masyarakat dapat melihat sendiri bagaimana kerja-kerja penuaian yang dilakukan oleh pihak pengusaha mengikuti prosedur-prosedur pembangunan ladang hutan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa. Selain itu, contoh-contoh seperti amalan penuaian dan pemuliharaan juga perlu ditunjukkan kepada masyarakat tempatan dan luar negara melalui media massa.

Platform sebegini penting untuk menunjukkan komitmen negara dalam konservasi hutan yang mana maklumat sebegini ini boleh dikongsi di laman sesawang Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Pertubuhan Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa (IUFRO).

Program-program kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar biasanya dilakukan di sekolah-sekolah. Adalah penting pengembangan program sebegini melibatkan semua lapisan masyarakat melalui seminar, bengkel sama ada secara fizikal atau maya.

Aktiviti penglibatan komuniti seperti penanaman pokok perlu diadakan dari semasa ke semasa. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menjayakan Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bermula tahun 2021 sehingga 2025 dan peratusan pencapaian penanaman pokok adalah sebanyak 95.93 peratus setakat bulan ini.

Apa yang penting, kita semua perlu memanfaatkan media dalam penyebaran maklumat yang betul berkaitan perhutanan negara. Maklumat-maklumat perhutanan negara boleh diperoleh daripada laman sesawang perhutanan negeri masing- masing dan juga Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar .

Kerjasama antara sektor kerajaan dan swasta amat penting agar masyarakat lebih memahami dan menerima konsep perladangan hutan mampan yang diamalkan dalam negara. Ia demi kelestarian ekonomi dan peningkatan kualiti hidup semua lapisan masyarakat.-UTUSAN

DR. DALJIT SINGH KARAM SINGH
Jabatan Pengurusan Tanah
Fakulti Pertanian,
Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN