Merdekakan diri belenggu emosi

Merdekakan diri belenggu emosi

AKTIVITI riadah dapat membantu membebaskan diri seseorang daripada perangkap emosi dan pemikiran negatif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat buat seluruh rakyat Malaysia dan tahun ini genap 67 tahun kita menyambut kemerdekaan. Selama tempoh ini, kita bebas daripada dijajah kuasa asing, namun bagaimana pula dengan diri?

Kesejahteraan psikologi menekankan tiga komponen utama iaitu pemikiran, emosi dan tingkah laku (PET). Penjagaan psikologi seseorang individu amatlah penting kerana terkait rapat dengan kefungsian hidup. Sebagai contoh daripada sudut pekerjaan, pendidikan, kekeluargaan dan banyak lagi. Kesihatan psikologi seseorang akan mendatangkan hasil yang baik bukan sahaja buat dirinya tetapi kepada orang sekelilingnya juga.

Beberapa perkara boleh dilakukan bagi memerdekakan diri daripada terperangkap dengan unsur negatif. Pertama, elakkan diri dari persekitaran yang tidak sihat. Contohnya apabila berhadapan dengan rakan-rakan yang toksik atau individu yang sering memberikan stigma negatif kepada diri, keluar dari kelompok tersebut. Lebih baik sekiranya kesejahteraan mental terjaga daripada dibelenggu dengan perasaan negatif yang boleh memudaratkan kesihatan.

Kedua, lakukan aktiviti yang boleh meningkatkan nilai positif pada diri dengan cara melakukan riadah pada waktu petang, berinteraksi dengan alam, bergaul dengan rakan-rakan yang memberikan motivasi pada diri.

Ketiga adalah melakukan penghargaan kepada diri sendiri, iaitu dengan memberikan ruang buat diri untuk refleksi kendiri.

Keempat kenal pasti perkara yang berada dalam kawalan dan luar kawalan. Amalkan konsep 90 dan 10 peratus. Di dalam kehidupan ini 90 peratus perkara yang berlaku adalah dalam kawalan individu dan hanya 10 peratus sahaja yang tidak boleh dikawal.

Kelima, tingkatkan nilai spiritual dalam amalan seharian dan ini mengikut kepada ajaran agama masing-masing.

Melalui lima perkara ini, dapat membantu kita mengekalkan diri dengan perkara yang positif. Jadi ia bertepatan dengan tema kemerdekaan pada tahun ini iaitu Malaysia Madani: Jiwa Merdeka.

Mari kita sama-sama belajar untuk mengawal dan membentuk pemikiran positif setiap hari serta jadikan hari-hari tersebut sebagai hari yang baharu. Pastinya banyak perkara yang dapat dipelajari dan boleh diperbaiki untuk menjadi yang lebih baik dari sebelumnya.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR dan NUR NADHIRAH MAT NAWI
Fakulti Pendidikan,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN