UMUM mengetahui, dunia kini berada dalam era pasca normal yang mana menggambarkan keadaan transisi atau perpindahan zaman yang penuh ketidakpastian serta sukar diduga.
Dalam hal ini, generasi muda perlu menerokai ilmu baharu yang berimpak dan bernilai tinggi dengan tidak hanya pakar dalam sesuatu bidang, namun mengetahui atau mahir berkenaan dengan asas dalam pelbagai skop yang berbeza.
Justeru itu, amatlah penting untuk menyediakan keperluan latihan yang berfokus, cekap dan berkesan dalam pasaran buruh negara. Perkara ini cukup penting agar Malaysia dapat meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa serta merapatkan jurang kemahiran terutamanya dalam sektor digital.
Pembangunan modal insan yang holistik akan menjadikan seseorang individu itu lengkap dengan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja semasa. Oleh itu, kerjasama pelbagai pihak antara industri, akademik dan individu penting dalam merealisasikan hal ini.
Bagi menjayakan hal ini, seramai 380,000 peserta mengikuti Minggu Latihan Kebangsaan (NTW). Pembelajaran sepanjang hayat menjadi objektif utama penganjuran program ini dengan menawarkan lebih 65,000 kursus percuma kepada semua rakyat Malaysia.
Melalui NTW juga, kerajaan komited memperkasakan rakyat melalui pelbagai inisiatif latihan yang menyeluruh, membolehkan mereka memainkan peranan aktif dalam memajukan pertumbuhan dan kesejahteraan negara, melangkaui peranan sebagai peserta semata-mata.
Malaysia kini dikenali sebagai destinasi industri semikonduktor global yang juga memberi nilai tambah dan berperanan penting dalam membangun sekali gus memacu ekonomi negara. Industri ini memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Oleh yang demikian, sektor ini membantu membangunkan bakat tempatan melalui pelbagai program pendidikan dan latihan yang disokong oleh pihak kerajaan serta industri.
Sehubungan dengan itu, usaha kerajaan untuk melengkapkan rakyat dengan ilmu dan kemahiran kerja untuk masa hadapan perlu mendapat kerjasama kedua-dua pihak, iaitu industri dan individu.
Kesinambungan pembangunan bakat ini pula perlu dipadankan dengan peluang pekerjaan yang inklusif kepada peserta rakyat Malaysia. Dengan ini, negara akan sentiasa bersedia dalam menghadapi perubahan permintaan buruh pada setiap masa. Di samping itu, negara juga sentiasa dapat melahirkan ramai buruh atau tenaga kerja berkualiti yang kompeten, cekap dan produktif bukan setakat di peringkat Malaysia tetapi juga di persada antarabangsa. Ini sekali gus akan memacu ekonomi Malaysia pada tahap lebih baik pada masa akan hadapan. – UTUSAN
ARIFF NAJMI
Kolej Yayasan UEM (KYUEM)







