IPEF 2023 wadah rencana strategi pasaran buruh - Utusan Malaysia

IPEF 2023 wadah rencana strategi pasaran buruh

V. SIVAKUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: International Public Employment Forum (IPEF 2023) bakal menjadi wadah terbaik untuk menggarap strategi mengharungi dinamik dunia pekerjaan, seiring perubahan landskap pasaran buruh yang mengalami siri kejutan ketara terutama sejak tiga tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, forum selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Oktober 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu menampilkan lebih 28 ahli panel pakar dalam bidang masing-masing.

Katanya, forum ini juga berperanan sebagai saluran perkongsian pelbagai matlamat pasaran buruh yang akhirnya memberi laba kepada golongan majikan.

“Inti pati perkongsian oleh ahli panel dari dalam dan luar negara menerusi IPEF 2023 akan meliputi aspek pemerkasaan tenaga buruh, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta sosial dan urus tadbir pekerjaan.

“Maklumat sebegini mampu menyuntik perubahan positif terhadap rangkaian aspek pengurusan sumber manusia, sekali gus melonjak tahap produktiviti pekerja dan unjuran prestasi syarikat serta mewujudkan tenaga buruh yang utuh,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, anjakan perubahan itu amat bertepatan pada masanya, dengan mengambil kira kesan kejutan ketara berikutan pandemik Covid-19 yang menyaksikan amalan pengurusan sumber manusia terdahulu bertukar jumud.

Menurutnya, pelbagai entiti syarikat gergasi di pentas global merencana hala tuju baharu demi memastikan dasar semasa mencakupi pengurusan sumber manusia, faktor penawaran dan permintaan pasaran buruh serta corak pengoperasian pekerja kekal relevan.

“Sehubungan itu, perincian amalan terbaik diterapkan Bank Dunia, Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), selain pakar dari pelbagai negara luar antaranya Jepun, Norway, Belgium dan Jerman akan menjadi panduan terbaik dalam merungkai kejutan pasaran buruh.

“Forum ini turut akan diserikan dengan kehadiran Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Penasihat Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram dan legenda boling negara, Datuk Shalin Zulkifli.

“Pelbagai pakar pengurusan daripada AirAsia, Shell, Pos Malaysia dan LinkedIn juga akan memberikan input mereka berkaitan pasaran buruh yang transformatif,” ujarnya.

Tambahnya, yuran penyertaan IPEF 2023 dalam kalangan sektor swasta boleh dituntut semula daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) menerusi Skim Bantuan Latihan (SBL).

Dari kaca mata pekerja dan yang masih mencari kerjaya bersesuaian terutama dalam kalangan graduan, beliau berkata, penganjuran IPEF 2023 berteraskan komitmen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bakal memberi sudut pandang baharu mengenai corak permintaan pasaran buruh.

“Kecaknaan berhubung perkara ini penting demi memastikan isu berkaitan ketidakpadanan kerjaya yang masih giat ditangani di Malaysia berupaya mereda dan akhirnya memacu taraf sosioekonomi masyarakat secara keseluruhannya.

“Peningkatan keperluan majikan, khususnya membabitkan jenis kemahiran dan pengalaman tertentu, mengikut sektor pekerjaan adalah antara topik utama yang akan diperhalusi dalam siri perbincangan di pentas IPEF 2023,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya