KANGAR: Seramai 7,258 individu bekerja sendiri di Perlis direkodkan berdaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari 2025 hingga April lalu.
Pada tahun lalu, seramai 5,044 individu membabitkan 20 sektor direkodkan berdaftar dan tahun ini dari Januari sehingga bulan lalu membabitkan 2,214 pekerja.
Pengarah Perkeso negeri, Ahmad Firdaus Hashim berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 385 pencarum pada tahun lalu adalah mereka yang terlibat dalam sektor penghantaran makanan, barangan dan pengangkutan penumpang menggunakan platform digital.
“Peningkatan itu menunjukkan kesedaran masyarakat khususnya pekerja gig semakin meningkat berhubung kepentingan perlindungan sosial dan caruman Perkeso,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebagai rekod, Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang bertujuan melindungi pekerja gig secara komprehensif mula dikuatkuasakan pada 31 Mac lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan memaklumkan, akta itu memberi manfaat kepada 1.64 juta individu yang terbabit dalam ekonomi gig di negara ini melalui perlindungan hak pekerja, ketelusan perjanjian, mekanisme penyelesaian pertikaian yang jelas serta perlindungan keselamatan sosial.
Ahmad Firdaus berkata, penguatkuasaan melibatkan platform ekonomi gig juga telah dilaksanakan dan semua penyedia platform diwajibkan mendaftar dengan memastikan pekerja mencarum di bawah skim Perkeso.
“Integrasi data antara platform dan Perkeso juga amat penting bagi memastikan setiap pekerja menggunakan aplikasi digital dapat dikenal pasti serta menerima bantuan cepat sekiranya berlaku kemalangan ketika bekerja.
“Kita mahu kebajikan pekerja terus terpelihara kerana mereka juga mempunyai keluarga dan tanggungan. Jika berlaku musibah, sekurang-kurangnya ada perlindungan yang boleh membantu meneruskan kehidupan,” katanya.
Katanya, caruman bagi pekerja gig hanyalah pada kadar 1.25 peratus atau RM157.20 setahun iaitu bergantung kepada jumlah hari bekerja.
“Kalau pendapatan seseorang itu RM100 sehari, caruman hanya RM1.25 untuk hari itu tetapi manfaat perlindungan sangat besar,” katanya. – UTUSAN










