KENAIKAN harga barang adalah isu yang kian meresahkan rakyat Malaysia. Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan golongan berpendapatan rendah, malah golongan sederhana turut merasakan kesan beban yang semakin meningkat. Dalam situasi ini, komuniti perlu memainkan peranan yang lebih aktif untuk mengatasi masalah ini.
Meskipun kita mempunyai sistem pentadbiran yang kukuh dengan kehadiran pegawai daerah, penghulu, ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), serta pengguna sendiri, namun terdapat kelemahan dalam pengawalan harga barang di pasaran.
Peniaga yang tidak bertanggungjawab sering kali mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang apabila terdapat kenaikan gaji atau pemberian bantuan oleh kerajaan. Mereka berpendapat bahawa pengguna akan mampu untuk membayar harga yang lebih tinggi kerana peningkatan pendapatan. Namun, tindakan ini hanya mengundang kemarahan dan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.
Sepatutnya, pihak berkuasa di peringkat akar umbi seperti ketua kampung dan JKKK boleh memainkan peranan sebagai ‘mata’ untuk memantau situasi ini dan memberi laporan kepada pihak berkuasa yang lebih tinggi.
Sistem pentadbiran yang tersusun sepatutnya menjadi benteng utama dalam melindungi kepentingan pengguna. Pegawai daerah dan penghulu, sebagai wakil kerajaan di peringkat daerah dan mukim, boleh mengambil langkah proaktif untuk memantau harga barang di kawasan masing-masing.
Mereka boleh bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang tanpa justifikasi yang munasabah. Tindakan ini akan memberi amaran kepada peniaga yang mereka sentiasa dipantau, sekali gus mengurangkan kemungkinan mereka untuk mengambil kesempatan.
Komuniti pengguna juga perlu lebih bijak dan peka terhadap situasi ini. Mereka boleh melaporkan sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah kepada pihak berkuasa. Selain itu, kesedaran dalam kalangan pengguna untuk memilih kedai atau pasar yang menawarkan harga yang lebih berpatutan juga boleh memberi tekanan kepada peniaga yang menaikkan harga. Jika pengguna bersatu dan mengelakkan membeli di kedai-kedai yang menjual dengan harga yang terlalu tinggi, peniaga tersebut akan terpaksa menurunkan harga bagi mengekalkan perniagaan mereka.
Begitu juga dengan peranan sekolah dalam mendidik generasi muda tentang kepentingan menjadi pengguna yang bijak. Dengan adanya program pendidikan yang menekankan tentang hak pengguna dan tanggungjawab sosial, kita dapat melahirkan individu yang lebih peka dan berani menuntut hak mereka.
Dalam pada itu, pihak berkuasa juga perlu memperketatkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan harga barang. Peniaga yang didapati bersalah menaikkan harga tanpa alasan yang kukuh perlu dikenakan tindakan tegas.
Dengan adanya undang-undang yang ketat dan penguatkuasaan yang konsisten, peniaga akan lebih berhati-hati dalam menentukan harga barang.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Taman Ketapang Mualim,
Pekan, Pahang










