SAUDARA PENGARANG,
PADA tahun 2024 ini, kerajaan telah menggalakkan pelaksanaan digitalisasi di semua peringkat pendidikan, dan tadika tidak terkecuali. Pelaksanaan ini dilihat bagus supaya kita dapat berdiri seiring dengan perkembangan teknologi dunia. Cabaran ini disahut oleh beberapa tadika demi mendukung hasrat dan ideologi kerajaan ini.
Namun, pelaksanaan digitalisasi di tadika secara total adalah tidak praktikal sama sekali. Meskipun sistem yang dibina mengandungi bahan visual yang lengkap dan sistem ganjaran kepada murid tadika, guru masih perlu membawa bahan bantu mengajar maujud seperti kad imbasan dan juga alat permainan untuk menguji kefahaman murid.
Ini memberi tekanan kepada guru tadika untuk mengawal keadaan kelas dengan murid seramai 20 hingga 25 orang maksimum. Ini tidak termasuk murid yang aktif dalam kelas yang lumrahnya akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain semasa PdP berlangsung.
Walhal, fokus utama pembelajaran di peringkat tadika adalah lebih tertumpu kepada aktiviti berbentuk penerokaan, hands-on, deria (sensory) dan sebagainya. Sekiranya digitalisasi seumpama ini dilaksanakan, maka kanak-kanak tersebut akan berada dalam persekitaran terkawal seperti pelajar di institusi pengajian tinggi.
Ini adalah tidak wajar sama sekali kerana lumrah sifat kanak-kanak yang sangat aktif ini disekat.
Malah, sistem ganjaran yang dilaksanakan menerusi sistem papan markah secara visual semata-mata juga tidak praktikal, kerana kanak-kanak lebih memilih untuk ganjaran ini dilihat dan diperolehi secara maujud.
Justeru itu, pelaksanaan digitalisasi ini boleh dilakukan di peringkat tadika, tetapi ia hanya menjadi sebagai daripada bahan bantu mengajar atau rujukan kepada guru sahaja. Yakni, guru boleh membuat pilihan sama ada subjek yang diajar sesuai untuk digitalisasikan atau tidak. Guru tersebut perlu bijak dan kreatif dalam memastikan hasil pembelajaran dicapai dengan optimum. – UTUSAN
SHAHRUL AFFENDI ISHAK
Pelajar Doktor Falsafah (Sumber dan
Teknologi Maklumat) di Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia










