Burung perosak ancam orang awam

Burung perosak ancam orang awam

INFESTASI burung perosak memerlukan intervensi yang sesuai melalui penglibatan kepakaran dari syarikat-syarikat kawalan perosak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

POPULASI burung perosak yang kian meningkat memberi mudarat kepada penduduk melalui pencemaran bunyi dan najis yang mendatangkan risiko kesihatan awam. Antara penyakit yang dikaitkan dengan burung ini adalah virus influenza, virus west nile dan bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan. Selain itu, terdapat juga potensi infestasi hama ektoparasit, khususnya hama burung dan kutu yang boleh berpindah kepada manusia.

Aduan berkenaan kacau-ganggu spesies burung perosak ini telah banyak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Gagak rumah sebagai contoh banyak menginfestasi kawasan perindustrian, rumah-rumah kedai dengan meninggal najis di sepanjang pejalan kaki.

Merpati batu lebih memilih struktur bangunan terutamanya bumbung. Kawasan bersarang ini kekal digunakan berulang kali, boleh mengakibatkan kerosakan kepada struktur bumbung disebabkan kelembapan dari sisa sarang dan najis yang ditinggalkan.

Namun, infestasi secara besar-besar boleh mengundang kebimbangan penduduk disebabkan gangguan bunyi dan najis yang ditinggalkan terutama pada struktur bangunan.

Infestasi burung perosak ini memerlukan intervensi yang sesuai melalui pelibatan kepakaran dari syarikat-syarikat kawalan perosak melalui penggunaan kawalan kimia, fizikal dan mekanikal.

Selain itu, kajian berkenaan ekologi burung ini, selain potensi penyakit zoonotik yang dibawa adalah penting dalam memahami biologi burung-burung ini, seterusnya merangka pelan pengurusan yang lebih strategik.

Namun, perkara yang perlu diberi perhatian adalah pengurusan sampah yang tidak sistematik dan tabiat masyarakat memberi makan kepada haiwan liar ini. Sumber makanan yang berterusan menyumbang kepada peningkatan populasi spesies-spesies burung perosak ini. Maka, kerjasama dari pelbagai pihak penting dalam mengawal populasi spesies burung perosak ini, seterusnya memelihara kesihatan persekitaran dan mengekang penularan penyakit zoonotik.-UTUSAN

FARAH SHAFAWATI MOHD TAIB
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi
Fakulti Sains dan Teknologi
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN