SAUDARA PENGARANG,
SAYA cadangkan kita buat persiapan dengan andaian banjir paling buruk akan berlaku. Selain penglibatan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan beberapa pihak lain untuk menghadapi banjir nanti, pihak Kementerian Pendidikan juga memainkan peranan penting terutamanya tentang takwim persekolahan, pakaian sekolah, cuti murid dan guru, penggantian kelas serta penjadualan semula peperiksaan. Sekiranya proses pembelajaran secara dalam talian terpaksa dilakukan dari rumah atau pusat penempatan sementara, pastikan bahawa liputan internet di kawasan tersebut lancar, tiada gangguan dan tidak tersekat-sekat.
Sekolah juga digunakan sebagai pusat penempatan sementara mangsa banjir. Walaupun ia hanya sebuah sekolah, biarlah selesa. Jangan dirikan khemah terlalu rapat antara satu dengan yang lain. Pastikan pusat penempatan sementara mempunyai pengudaraan yang baik, tidak terlalu sesak, memiliki tandas yang berfungsi dan mempunyai air untuk bersuci yang mencukupi.
Lampin pakai buang dengan pelbagai saiz untuk bayi, kanak-kanak dan orang dewasa perlu dibekalkan juga ke pusat penempatan sementara mangsa banjir. Kebersihan, keselamatan dan keselesaan pusat penempatan sementara mangsa banjir sekurang- kurangnya mesti berada pada tahap memuaskan jika bukan yang terbaik.
Bekalan makanan kepada mangsa banjir mesti diurus dengan baik. Makanan yang dibekalkan mestilah bernutrisi, bukan sekadar alas perut sahaja. Bekalan makanan perlu juga memberi pertimbangan kepada tuntutan agama tertentu. Air minuman merupakan item yang penting untuk kelangsungan hidup mangsa banjir. Air minuman melalui proses osmosis mahupun air mineral mesti dibekalkan secara berterusan kepada mangsa banjir.
Selain pihak berwajib, sukarelawan yang ingin membantu mangsa banjir juga harus membuat perancangan daripada sekarang tentang bagaimana untuk membantu mangsa banjir. Buat koordinasi dengan pihak berwajib terutamanya tentang tugas dan kawasan agar tidak bertindih dan tidak tertumpu pada kawasan tertentu sahaja. Kepada rakyat prihatin yang ingin bersedekah pakaian kepada mangsa banjir, sedekahlah pakaian yang masih elok, bersih dan boleh dipakai.
Selain keperluan bot serta kenderaan pacuan empat roda untuk membantu, menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, dron juga diperlukan untuk meninjau kawasan banjir. Video secara langsung daripada dron peninjau disalurkan terus ke pusat mencari dan menyelamat (SAR) yang beroperasi untuk tindakan segera jika ada mangsa banjir memerlukan bantuan. Agensi Pengurusan Bencana Negara perlu meletakkan sasaran sifar kematian dan sifar kehilangan mangsa bagi banjir di musim tengkujuh 2024 dan juga di masa akan datang.
Setelah berpuluh-puluh tahun menghadapi bencana banjir, kita sepatutnya sudah dapat menanganinya dengan baik. Setidak-tidaknya kita sudah ada sistem saliran yang dapat berfungsi dengan cemerlang untuk menyalurkan air hujan dengan berkesan. Apakah kita langsung tidak belajar apa-apa daripada banjir-banjir terdahulu? Untuk banjir kali ini, kita buat persediaan menghadapi banjir mulai sekarang. Jangan pula di kemudian hari kita asyik menuding jari antara satu sama lain. Biar kita tengadah sekarang daripada kita terantuk kemudian.-UTUSAN
MARISSA QT
Kuala Lumpur










