Banyak isu perlu diselesaikan dalam industri halal

Banyak isu perlu diselesaikan dalam industri halal

EKSEKUTIF Halal merupakan antara isu yang perlu diselesaikan segara dalam memastikan industri ini terus berkembang.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TAHUN ini sahaja, kita dapat lihat Malaysia melancarkan dua inisiatif mega berkaitan pemerkasaan industri halal negara melalui Malaysian Industrial Development Finance Sdn. Bhd. (MIDF) yang memperkenalkan Pentauliahan dan Penambahbaikan Teknologi Halal (HATI). Inisiatif ini bertujuan menyemarakkan industri halal negara dengan menyuntik dana kepada industri kecil dan sederhana (PKS) supaya lebih kompetitif, efisien dan mempunyai peluang pemasaran yang lebih besar di dalam dan luar negara.

Malaysia juga sedang menjalankan sesi perbincangan Dasar Halal Negara yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Universiti Malaya (UM) menjelajahi semua zon negara.

Banyak isu-isu kritikal diperbincangkan termasuk perundangan, pensijilan, pengiktirafan, teknologi, kepenggunaan serta penyelidikan. Namun, satu perkara yang menarik minat saya sebagai penyelidik dalam pengurusan bakat industri makanan adalah perihal bakat halal.

Tugas mereka meliputi semua proses dalam industri, dari perolehan bahan, pembuatan, penghantaran, hingga produk sampai ke tangan pengguna termasuklah pembungkusan dan penyajian.

Untuk mendapatkan sijil halal Malaysia, pengusaha makanan atau perkhidmatan mestilah menyediakan penjawatan tetap sekurang-kurangnya seorang Eksekutif Halal. Ia perlu memenuhi syarat wajib berdasarkan standard Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) 2020.

Apabila diteliti perkara ini, beberapa persoalan timbul antaranya kualifikasi dan syarat minimum dapat memenuhi tanggungjawab besar sebagai Eksekutif Halal, adakah mereka ini dikira profesional dan penting berbanding dengan jawatan-jawatan lain atau sekadar pelengkap bagi mendapatkan sijil halal dan sebagainya.

Isu-isu ini memerlukan perhatian serius dan penyelesaian dari semua pihak berkaitan supaya industri halal terus berkembang pesat. Ini penting bagi mencapai misi negara untuk menjadi peneraju dan pakar rujuk dalam sektor pensijilan dan pengiktirafan halal terbaik di peringkat antarabangsa.

Kita perlu memastikan bakat halal bukan sahaja memenuhi syarat minimum tetapi juga dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang mendalam untuk memacu industri ini ke tahap yang lebih tinggi.

Langkah proaktif perlu diambil untuk memperkukuh kualifikasi dan latihan Eksekutif Halal.

Pendidikan dan latihan yang lebih komprehensif dan selaras dengan keperluan industri serta perubahan teknologi yang kian pesat harus diberi penekanan, termasuk peningkatan dalam pengetahuan sains dan teknologi makanan, kefahaman mendalam tentang fiqh dan syariah serta keupayaan mentadbir juga menerajui industri halal.

Hanya dengan cara ini, kita dapat memastikan industri halal terus relevan dan kompetitif di peringkat global.-UTUSAN

AMARUL ARIEF MOHD. SHUHAIMI
Fakulti Sains dan Teknologi Makanan
Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN