SAUDARA PENGARANG,
PILIHAN raya merupakan satu bentuk demokrasi yang diamalkan hampir di setiap negara di seluruh dunia. Mengundi calon dalam pilihan raya merupakan sebahagian daripada proses demokrasi.
Sebagai sebuah negara demokrasi berperlembagaan, setiap warga negara Malaysia bebas memilih pemimpin yang akan mentadbir negara. Pemilihan pemimpin bergantung kepada persepsi pengundi terhadap calon pilihan raya tersebut.
Kajian yang dijalankan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneliti ciri-ciri atau kriteria yang dinilai oleh pengundi dalam membuat pemilihan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Seramai 400 orang pengundi daripada enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan terlibat dalam kajian ini. Soal selidik mengambil masa selama tiga bulan.
Kajian menunjukkan kriteria utama yang dititikberatkan pengundi ialah sifat adil. Ini berdasarkan persepsi pengundi terhadap calon tersebut. Sebanyak 95 peratus responden bersetuju kriteria tersebut wajib ada dalam diri seorang pemimpin.
Kriteria kedua yang dianggap penting oleh pengundi ialah kuat agama. Ia dilihat sebagai salah satu faktor yang boleh melindungi calon daripada sifat-sifat buruk seperti pecah amanah dan menipu.
Berpendidikan tinggi juga dianggap sebagai kriteria yang penting apabila 77 peratus daripada responden melihat ciri ini dalam diri seorang pemimpin.
Pengundi berpandangan bahawa calon perlu memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda untuk dapat mentadbir dengan baik.
Kriteria-kriteria lain yang turut diteliti oleh pengundi ialah pengalaman dalam politik, berpersonaliti menarik dan merupakan anak tempatan. Walau bagaimanapun, 60 peratus daripada pengundi berpandangan bahawa bakal ADUN tidak semestinya seorang lelaki dan berumur lebih daripada 40 tahun.
Ini menunjukkan tahap keterbukaan pengundi yang lebih baik terhadap jantina dan umur calon.
Pengundi semakin menerima calon wanita sebagai wakil mereka dan menganggap umur bukanlah satu-satunya pengukur bagi pengalaman dan kematangan calon.-UTUSAN
DR. SITI MARZIAH ZAKARIA
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










