Toleransi, bukan normalisasi pluralisme agama

Toleransi, bukan normalisasi pluralisme agama

SETIAP entiti masyarakat perlu jelas bahawa toleransi bukan jalan menghidupkan pluralisme agama sebaliknya ia sebuah dasar keharmonian antara masyarakat tanpa melibatkan penerimaan dan kesamarataan dari sudut agama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Bertahun-tahun lamanya rakyat Malaysia hidup dalam keadaan sinergi yang harmoni antara setiap kaum, bangsa dan agama. Memasyarakatkan sikap saling hormat menghormati setiap adat dan tradisi adalah kunci kepada keharmonian antara kaum di negara ini. Tetapi, sebagai seorang Islam yang berpegang dengan rukun dan prinsip keIslaman yang dianuti, perlunya ada batas yang jelas yang tidak boleh dilanggar. Perlu diletakkan sebuah garisan halus antara toleransi dan pluralisme.

Toleransi bukan bermaksud menerima bulat-bulat bahkan ia sebuah perasaan yang timbul dari sikap saling hormat menghormati dan dasar menegakkan keterbukaan dalam kalangan masyarakat atau entiti sosial. Ia juga membawa konotasi mempelajari sesuatu daripada perbezaan individu, atau di dalam konteks ini, perbezaan dengan agama yang lain serta mempelajari gaya hidup dan tradisi mereka.

Perlu difahami, Islam sebuah agama yang mengangkat nilai rahmat kepada seluruh alam (rahmatun lil-‘alamin), iaitu dengan membawa dasar keterbukaan dan keselamatan. sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Anbiya’ ayat 107: “Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam”.

Islam juga sebuah agama yang bersifat holistik dan universal yang mana padanya diletakkan sebuah batu asas yang jelas dalam permasalahan beragama. Surah al-Kafirun diturunkan kerana kaum kafir Quraisy di Mekah mendakwa agama yang dibawa oleh Nabi SAW sama sahaja dengan agama mereka yang menyembah berhala. Maka Allah SWT menyebutkan di dalam Surah al-Kafirun sebuah jawapan tuntas yang telah diberikan kepada Nabi Muhammad terhadap tawaran kaum Quraisy kepada baginda ketika itu.

Al-Quran menjawab dan mengajarkan kita dengan jelas kedudukan agama dan implikasi kepada mereka yang mencari kebenaran dari agama lain selain dari agama Islam. Allah menyebutkan dalam Surah Ali Imran ayat 85: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.”

Kesimpulannya, setiap entiti masyarakat perlu jelas bahawa toleransi bukan jalan menghidupkan pluralisme agama sebaliknya ia sebuah dasar keharmonian antara masyarakat tanpa melibatkan penerimaan dan kesamarataan dari sudut agama.

Menormalisasikan pemahaman sebegini dalam masyarakat sama ada melalui gerakan-gerakan pro-kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), autoriti agama negeri atau sebagainya adalah sebuah langkah yang bahaya, bertentangan dengan ajaran agama serta perlu dihentikan segera, demi kemurnian dan kesucian agama Islam.-UTUSAN

MOHAMMAD BAIHAQI MD. YUSNAN
Kulliyyah Pendidikan,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN