Terlalu bergantung peruntuk kerajaan punca gagal ‘kaut’ emas Olimpik

Terlalu bergantung peruntuk kerajaan punca gagal ‘kaut’ emas Olimpik

PERSATUAN sukan terlampau bergantung harap pada peruntukan kerajaan dan seringkali gagal melahirkan atlet pelapis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUKAN Olimpik sudah berakhir, namun kilauan emas masih lagi samar dalam dakapan negara sedangkan negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Vietnam mahupun Thailand terlebih dahulu menggapai emas Olimpik. Malah negara Saint Lucia yang hanya menghantar tiga orang atlet pun berjaya mendapatkan pingat emas di Olimpik dalam acara 100 pecut wanita. Di mana silapnya sehingga menyambar sebutir pingat emas begitu sukar digapai?

Beberapa perkara penting tentang polisi sukan dan undang-undang sukan negara yang menyebabkan mengapa kita di sini hari ini.

Lihat negara China bagaimana hari ini mereka menjadi kuasa besar sukan dunia. China adalah satu contoh negara yang mempunyai polisi sukan negara yang baik dan mempunyai sistem yang terancang dengan mewujudkan universiti sukan bagi melahirkan atlet di peringkat akar umbi kerana itu pada hari ini mereka menjadi kuasa besar dunia.

Malah, kebanyakan delegasi Olimpik China boleh dikatakan kebanyakannya hasil produk daripada universiti terbabit. Atlet mereka mengaplikasikan sains dalam kaedah latihan mereka dengan betul.

Begitupun, di Malaysia, kita tidak mempunyai sistem sukan seperti itu walaupun kita mempunyai sekolah sukan untuk menghasilkan atlet peringkat akar umbi, tetapi Malaysia masih belum mempunyai universiti sukan untuk menghasilkan pakar-pakar dalam bidang sukan.

Namun begitu, kegagalan nyata kerana persatuan sukan yang terlampau bergantung harap pada peruntukan kerajaan dan seringkali gagal melahirkan atlet pelapis.

Jika di China atau Jepun misalnya tugas persatuan sukan mereka untuk mencari atlet dan mengasah bakat hingga ke peringkat dunia setiap tahun dan jika tidak melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) , maka peruntukan kerajaan kepada persatuan sukan itu akan dipotong.

Oleh sebab itulah, persatuan sukan di negara mereka berebut melahirkan atlet pelapis setiap tahun kerana mereka ingin mendapatkan peruntukan daripada pihak kerajaan negara masing-masing.

Berbeza pula di Malaysia, kementerian memberikan peruntukan terhadap persatuan sukan tanpa melihat dari sudut KPI.

Sudah tiba masanya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminda Akta Pembangunan Sukan 1997 Seksyen 26 di mana setiap pengurusan tertinggi persatuan sukan perlu ditukar lima tahun sekali untuk mengelakkan wujud kepentingan sehingga memegang jawatan lebih dari 20 tahun dalam persatuan sukan.

Oleh yang demikian, persatuan sukan akan sentiasa ditadbir oleh muka baharu dan kita akan dapat melihat hasil kerja presiden persatuan sukan tersebut setiap lima tahun.

Jika ahli politik mempunyai limitasi penggal mengapa tidak pengurusan tertinggi persatuan sukan? Bukankah ini satu perkara baik yang dapat meningkatkan prestasi semua yang berminat untuk menguruskan persatuan sukan?

Segera melakukan rombakan akta sukan tertentu supaya sukan negara dapat diselamatkan oleh tangan-tangan hantu yang merosakkan industri sukan negara.-UTUSAN

YUSLAINI AZMI
Aktivis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×