Teknologi jangan rencat lahirkan mahasiswa aktif

Teknologi jangan rencat lahirkan mahasiswa aktif

PENGLIBATAN pelajar dalam pelbagai aktiviti di kampus mampu melahirkan graduan yang berketerampilan tinggi, yakin dan berani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

LEDAKAN pembangunan dan teknologi yang semakin rancak seperti cendawan selepas hujan melahirkan kebimbangan kepada ibu bapa dan pensyarah di peringkat universiti.

Ini kerana maklumat di hujung jari membantutkan mahasiswa baharu untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti kampus yang membantu mengasah kemahiran baharu.

Malah kebanyakkan mahasiswa kini lebih cenderung menghabiskan masa terluang dengan menggunakan telefon bimbit dan melayari pelbagai platform media sosial sehingga alpa sudah menghabiskan masa berjam-jam.

Lantas informasi yang diperoleh menjadi sia-sia sekiranya tidak dipraktikkan dan dilaksanakan dengan betul.

Mahasiswa baharu seharusnya mengambil peluang dan inisiatif ketika di universiti untuk menimba pengalaman serta menggilap bakat sepanjang berada dalam tempoh pembelajaran.

Contohnya, penglibatan dalam bidang sukan antara fakulti atau universiti, aktif berpersatuan, terlibat sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK).

Bahkan, pelajar seharusnya lebih bersemangat untuk menceburi bidang baharu yang tidak boleh dipelajari dalam kuliah semata-mata.

Mahasiswa yang aktif akan tampil lebih berketerampilan, berkeyakinan dan berani mencuba sesuatu yang baharu. Mereka juga mempunyai disiplin serta semangat setiakawan yang tinggi ketika bekerja nanti.

Negara yang kini menuju ke arah digitalisasi dan berdepan Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0) turut memaksa mahasiswa untuk lebih bijak menampilkan diri dengan ilmu komunikasi.

Tidak menolak kemungkinan mahasiswa menggunakan teknologi untuk meningkatkan pendapatan dan belajar kemahiran baharu tetapi ia menyebabkan kekurangan dari segi komunikasi dengan orang ramai.

Apa tidaknya, mereka hanya berhadapan dengan gajet dan media sosial tanpa sebarang interaksi antara satu sama lain. Mereka hanya berpaksikan tulisan dan komen yang ditinggalkan bukannya percakapan.-UTUSAN

MUHAMMAD AZIM ZAID
Pensyarah komunikasi Liberal
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×