SAUDARA PENGARANG,
PUSAT Kewartawanan Bebas (CIJ) berasa bimbang dengan insiden baru-baru ini berkenaan wartawan dihalang daripada membuat liputan acara polis walaupun mereka menerima jemputan.
Lebih membimbangkan, insiden ini berlaku sejurus selepas tiga wartawan dipanggil untuk disiasat berhubung sumber mereka dalam artikel. Tindakan yang diambil oleh polis ini menetapkan satu contoh buruk bagi wartawan di Malaysia menerusi cara mereka mengawal kebebasan media dan bersuara. Adalah membimbangkan apabila polis dan jurucakap boleh menggunakan kuasa mereka tanpa dikenakan sebarang tindakan.
Penafian terhadap akses ke acara tersebut menimbulkan kebimbangan serius mengenai ketelusan dalam proses membuat keputusan. Terdapat kekurangan proses sewajarnya, terutamanya apabila pegawai yang bertanggungjawab tidak dapat memberikan alasan yang jelas untuk penafian akses tersebut.
Kita tidak lagi berada dalam era ‘aku yang menurut perintah’. Semua penjawat awam yang dibayar dengan wang pembayar cukai, bertanggungjawab kepada orang ramai dan dalam kes ini, mesti memberikan justifikasi yang jelas mengikut undang-undang dalam menafikan akses.
Ketelusan dalam prosedur polis serta proses membuat keputusan oleh negara adalah penting untuk menegakkan nilai-nilai demokratik dan akhirnya memastikan kepentingan orang ramai dipenuhi.
Penguatkuasaan akses media secara terpilih ini semakin menonjolkan bagaimana wartawan tidak dapat melaporkan perkara yang tidak selari dengan agenda negara. Ini secara efektif melemahkan prinsip landskap media yang bebas dan adil yang menegakkan peranan penting media sebagai tiang keempat demokrasi.
Sehubungan itu, CIJ menuntut agar Menteri Dalam Negeri dan Menteri Komunikasi memberikan penjelasan mengenai bagaimana keputusan berkaitan media ini dibuat dan proses yang sewajarnya dalam menguatkuasakan keputusan tersebut.
Media dan orang awam berhak untuk mendapat ketelusan penuh mengenai bagaimana keputusan yang mempengaruhi hak media untuk menjalankan fungsinya dibuat.-UTUSAN
WATHSHLAH G. NAIDU
Pengarah Eksekutif CIJ










