Penting wujud undang-undang maklumat pengguna

Penting wujud undang-undang maklumat pengguna

KITA harap Malaysia akan mengambil langkah sama dengan mewujudkan Akta Kebebasan Maklumat untuk memenuhi keperluan pengguna berhubung dengan keselamatan. –JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

AUSTRALIA, Sweden, Finland, Norway, Denmark merupakan antara negara yang mengamalkan Akta Kebebasan Maklumat. Akta ini berperanan dalam memastikan jabatan-jabatan kerajaan, institusi serta agensi menyiarkan maklumat deskripsi mengenai sesuatu perkara.

Mereka perlu memenuhi permintaan maklumat lain dengan merujuk sesuatu kriteria tertentu, tertakluk kepada pengesahan sebuah tribunal (pengadilan) bebas.

Di bawah akta ini, jabatan-jabatan kerajaan sukar melindungi segala ‘perjalanan’ mereka dari pengetahuan umum dengan mengisytiharkan sesuatu sebagai sulit walaupun tiada kemungkinan membahayakan keselamatan negara.

Akta itu mengatakan seseorang individu berhak mendapat maklumat tanpa perlu membuktikan mengapa mereka menghendaki (atau mengetahui) sesuatu atau dokumen. Bagaimanapun maklumat itu tidaklah boleh didapati dengan percuma sebaliknya dikenakan sedikit bayaran.

Amat perlu bagi pengguna mengetahui tentang hak dan kepentingan mendapatkan maklumat sepenuhnya sebelum dapat membuat apa-apa pilihan, terutamanya dalam bidang ujian pengeluaran.

Dalam beberapa kes, jabatan kerajaan membuat ujian sebelum merancang untuk membeli produk atau perkhidmatan. Contoh, beberapa ujian makanan boleh dilakukan oleh Jabatan Kimia. Bagaimanapun maklumat ini tidaklah diberikan begitu sahaja kepada para pengguna.

Apabila sesuatu maklumat dapat diperoleh dengan mudah, ia dapat mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini selain kerja-kerja berulang. Ini kerana kadangkala persatuan pengguna perlu mengeluarkan wang daripada poket sendiri untuk pelbagai ujian sedemikian ke atas barangan atau produk.

Tiada sebab kenapa sesetengah institusi atau agensi kerajaan tidak memberikan maklumat kepada orang ramai.

Ekoran kelebihan akta ini, beberapa negara seperti Kanada dan Belanda sedang merancang untuk turut berusaha menjayakannya.

Kita harap Malaysia akan mengambil langkah yang sama untuk memenuhi keperluan para pengguna berhubung dengan keselamatan.

Hak untuk didengar dan mengetahui tentang sesuatu mutu serta kedudukan pasaran merupakan keutamaan buat pengguna.

Lebih baik maklumat yang diperoleh maka lebih baiklah pengetahuan kita. Sebarang kekurangan mengenainya bererti pengguna tidak dilindungi seperti yang seharusnya.-UTUSAN

BULBIR SINGH
Bekas presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN