Menjaga keselamatan diri, keluarga sebahagian maqasid syariah

Menjaga keselamatan diri, keluarga sebahagian maqasid syariah

MAKLUMKAN kepada keluarga, kenalan terdekat atau menggunakan aplikasi pengesan supaya setiap aktiviti dapat dikesan dnegan mudah sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, 

MEMELIHARA diri dan nyawa merupakan prinsip kedua terpenting mengikut urutan keutamaan dalam maqasid syariah selepas memelihara agama. Sebab itu, Islam melarang perbuatan membunuh, sama ada membunuh diri sendiri atau manusia lain bagi memelihara nyawa. 

Begitu juga hubungannya dengan kes melibatkan orang hilang. Mutakhir ini, kes melibatkan orang hilang seakan menjadi musim resah yang melanda negara. Kekeliruan yang timbul berkenaan laporan orang hilang hanya dibenarkan dibuat selepas tempoh 24 jam menambahkan lagi kegusaran keluarga dan orang ramai. 

Ironinya, kenyataan itu hanyalah satu tanggapan dan sangkaan yang berlegar dalam masyarakat sahaja. Tiada prosedur operasi standard (SOP) yang menyatakan laporan polis harus dibuat selepas tempoh 24 jam kejadian orang hilang berlaku. Sebaliknya, laporan polis mengenai kejadian orang hilang perlu dibuat segera bagi membolehkan tindakan pantas dapat diambil. 

Apabila aduan dibuat, pihak polis bertanggungjawab membuat penyisihan kategori. Sekiranya orang hilang membabitkan kanak-kanak bawah 18 tahun, membabitkan individu yang memiliki kepentingan ekonomi dan hubungan diplomatik atau memiliki elemen jenayah, maka fail akan dibuka oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sebaliknya, kes-kes melibatkan insiden orang hilang di hutan semasa mendaki, hilang di sungai dan kawasan-kawasan lain yang tidak membabitkan elemen jenayah, fail kes akan dibuka oleh Jabatan Pengurusan PDRM

Antara langkah penjagaan diri dan nyawa yang utama ialah sentiasa berwaspada dengan mengambil pertimbangan wajar setiap masa. Sebagai contoh, seseorang amat dititik beratkan untuk berjalan secara berteman walaupun individu tersebut adalah seorang lelaki dewasa. 

Boleh juga maklumkan kepada pasangan atau keluarga sekiranya keluar untuk menyelesaikan urusan. Beri maklumat tentang keberadaan anda bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. 

Alternatif lain yang lebih mudah, pasang atau muat turun alat pengesan lokasi sebagai langkah berjaga-jaga. Aplikasi pengesan sebegini bukanlah bertujuan untuk pengawalan lokasi setiap masa, namun lebih berfungsi bagi tujuan keselamatan diri dan orang sekeliling. 

Perlu diingat, menjaga keselamatan diri dan nyawa adalah sebahagian dari maqasid syariah dan dituntut agama. Hal ini memberi maksud, wajib kita menjaga dan melindungi diri bagi mencapai kebaikan dan memberi manfaat, sekali gus menolak keburukan dan menghilangkan kemudaratan.

Dengan langkah kecil ini, diharapkan peningkatan kes orang hilang yang mencecah 900 kes saban tahun, mampu diturunkan.-UTUSAN

 

SITI AISYAH SAMUDIN

Jabatan Syariah dan Undang-undang

Akademi Pengajian Islam 

Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN