Malaysia kaya dengan jiwa kemanusiaan

Malaysia kaya dengan jiwa kemanusiaan

KEAMANAN yang dikecapi Malaysia menjadi salah satu faktor rakyat negara ini mencintai keamanan dan berjiwa kemanusiaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGLIBATAN Malaysia dalam aktiviti kemanusiaan antarabangsa bukanlah suatu yang asing lagi. Pada 16 Ogos lalu, dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diterbangkan ke Pangkalan Udara Al Maza, Mesir dalam misi membawa 147 rakyat Palestin termasuk 41 yang tercedera ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan.

Usaha ini merupakan langkah berani pihak kerajaan dan wajar dipuji kerana Malaysia merupakan negara Asia pertama yang melaksanakan misi tersebut.

Menurut Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali. Usaha ini sebagai manifestasi sokongan dan solidariti terhadap nasib rakyat Palestin yang menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Israel.

Ini bukan kali pertama Malaysia melaksanakan misi kemanusiaan seumpama ini. Pada 1993, Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghantar pasukan tentera ke Bosnia dan Herzegovina untuk menyertai Operasi Pengaman Persatuan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB) ketika Perang Bosnia.

Jika kita melihat kembali sejarah, Malaysia pernah menghantar batalion tentera ke Congo di benua Afrika yang bergolak pada 1960 bagi melaksanakan misi keamanan walaupun kita baharu sahaja mengecapi kemerdekaan ketika itu.

Dari sudut peranan orang awam pula, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan misi kemanusiaan ke Syria dan Palestin dengan mengumpul dana daripada orang ramai, kemudian disalurkan ke negara bergolak terbabit.

Itulah Malaysia, sebuah negara kecil tetapi mempunyai jiwa kemanusiaan yang besar dalam kalangan pemimpin dan rakyatnya. Jika berlaku pergolakan seperti di Palestin, Malaysia antara yang pertama tampil menghulurkan bantuan dan solidariti walaupun sebuah negara yang kecil demografinya.

Setiap kezaliman yang berlaku khususnya di Palestin menyuntik perasaan rakyat Malaysia untuk terus bersolidariti dan menghulurkan bantuan. Sudah pasti rakyat Malaysia sentiasa berharap dan berdoa agar kezaliman ini dihentikan.

Itulah usaha besar rakyat negara ini yang tidak mampu mengangkat senjata untuk melindungi saudara Islam di Palestin tetapi sentiasa memikirkan inisiatif membantu mereka.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan usaha misi merawat 41 rakyat Palestin tersebut dengan menganggap ia sebagai satu pembaziran dan ada juga yang menyatakan terdapat rakyat Malaysia yang sukar mendapatkan rawatan, kenapa tidak mendahulukan rakyat sendiri.

Usaha ini hanya melibatkan 41 rakyat Palestin sahaja sedangkan berpuluh ribu yang telah mati terkorban dan tercedera angkara rejim Israel.

Golongan ini harus dididik bahawa isu yang melibatkan Palestin adalah isu kemanusiaan. Palestin berhadapan dengan kuasa besar yang bercita-cita menghapuskan mereka dari tanah air mereka sendiri.

Media juga berperanan untuk menyampaikan maklumat berkaitan situasi yang berlaku di Palestin dengan menggalakkan masyarakat daripada semua peringkat bersolidariti untuk negara berkenaan.

Usaha ini mungkin dilihat kecil, tetapi besar di mata mereka yang dahagakan bantuan dan perlindungan.-UTUSAN

LUQMAN ZUHDI IMAN
Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN