Kecewa masih ada kelab bola sepak pentingkan diri

Kecewa masih ada kelab bola sepak pentingkan diri

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bertindak tegas tanpa rasa takut kerana panggilan pemain ke skuad kebangsaan untuk kebaikan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

LIGA Malaysia belum habis lagi pusingan pertama, tetapi pelbagai ‘ribut’ melanda.

Sebelum bermula lagi seluruh negara dikejutkan dengan beberapa kemalangan melibatkan pemain kebangsaan.

Rentetan kes Faisal Halim yang disimbah asid pada Mei lalu, pasukan Selangor FC menarik diri demi solidariti kepada Faisal. Sebelum itu kelab gergasi Selangor ini juga memohon penangguhan dan mendapat perkenan Sultan Selangor.

Tidak berakhir di situ, ketika situasi nampak semakin reda, ribut taufan melanda apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan yang dianggap tidak berperikemanusiaan apabila mengenakan hukuman yang menyebabkan Sultan Selangor murka.

Sekarang ini pula, pasukan kebangsaan, Harimau Malaya berdepan cabaran apabila Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon mengumumkan perletakan jawatan serta merta.

Walaupun Pan Gon memaklumkan tindakannya itu atas alasan peribadi, tetapi kita dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena menyebabkan beliau membuat tindakan yang begitu drastik walaupun Timbalan Presiden FAM, Yusof Mahadi berkata sudah puas dipujuk.

Secara peribadi saya melihat Pan Gon adalah jurulatih yang sangat berkaliber dan begitu bersungguh-sungguh untuk memartabatkan semula Harimau Malaysia sebaris dengan pasukan-pasukan handalan yang lain. Kita dapat melihat ranking pasukan kebangsaan semakin meningkat dan terkini di tempat 134 dunia.

Umum mengetahui sudah banyak kali Pan Gon tidak dapat membariskan pemain-pemain yang kuat, ini adalah kerana ada kelab bertaraf ‘kayangan’ yang tidak mahu melepaskan pemain terbaik mereka dengan berbagai alasan.

Kerenah pemilik kelab berkenaan, nampaknya amat mengecewakan. Sepatutnya panggilan mewakili negara wajib dipatuhi sama ada kejohanan itu di dalam atau luar ‘kalendar’ Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Mungkin sudah tiba masa untuk memperkasakan akta dalam sukan ini. Mana-mana kelab yang enggan melepaskan pemainnya untuk mewakili negara boleh dikenakan tindakan berat.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bertindak tegas tanpa perlu rasa takut. FAM jangan ada sikap ‘dwistandard’.

Kita ucapkan selamat maju jaya kepada Pan Gon. Kita percaya beliau akan menjadi rebutan dari kelab di luar sana ibarat kata pepatah ‘benih yang baik kalau dicampak di mana-mana pun akan menjadi pulau’.-UTUSAN

CIKGU JAMAL
Kuala Rompin, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×