Jangan paksa anak ke sekolah asrama

Jangan paksa anak ke sekolah asrama

MENGHANTAR anak ke sekolah berasrama perlu dengan kerelaan hati pelajar agar mereka mendapat akses pendidikan berkualiti dan terus berdisiplin. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SESETENGAH ibu bapa beranggapan menghantar anak-anak ke asrama merupakan jalan terbaik untuk memastikan mereka mendapat pendidikan berkualiti dan berdisiplin. Namun, tidak semua pelajar mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan di asrama, terutamanya jika mereka dihantar tanpa kerelaan.

Pelajar yang dipaksa ke asrama akan mengalami kemurungan. Kehidupan yang jauh daripada keluarga dan persekitaran baharu boleh menjadi tekanan besar. Mereka mungkin merasa terasing, sunyi dan tidak mempunyai sokongan emosi yang mencukupi. Perasaan ini boleh menyebabkan prestasi akademik merosot dan mengganggu kesejahteraan mental.

Kemurungan yang dialami boleh membawa kepada tindakan yang lebih ekstrem seperti lari dari asrama atau melanggar disiplin dan peraturan sekolah. Mereka berbuat demikian dengan harapan dibuang dari asrama dan dapat kembali ke rumah. Ini bukan sahaja menjejaskan pelajaran tetapi menimbulkan masalah besar kepada pihak sekolah dalam mengawal disiplin pelajar.

Selain itu, segelintir ibu bapa lepas tangan setelah anak mereka di asrama. Mereka beranggapan tanggungjawab mendidik dan menguruskan anak-anak terletak sepenuhnya di tangan guru dan pihak sekolah. Pendekatan ini bukan sahaja tidak adil kepada anak-anak, tetapi juga membebankan pihak sekolah yang terpaksa menangani masalah yang sepatutnya diselesaikan ibu bapa.

Selain itu, pihak sekolah juga menghadapi cabaran besar dalam menangani pelajar yang dihantar ke asrama tanpa kerelaan. Mereka terpaksa meluangkan lebih banyak masa dan tenaga untuk memantau pelajar-pelajar ini, memberikan kaunseling dan sokongan emosi serta mengawal tingkah laku. Ini mengurangkan masa dan sumber yang boleh digunakan untuk memberi perhatian kepada pelajar lain yang benar-benar mahu belajar dan berkembang di asrama.

Untuk menangani masalah ini, penting bagi ibu bapa untuk berbincang dengan anak-anak sebelum membuat keputusan menghantar mereka ke sekolah berasrama. Anak-anak perlu diberi peluang untuk menyuarakan pendapat dan berkongsi kebimbangan. Ibu bapa juga perlu memastikan mereka terus terlibat dalam kehidupan anak-anak walaupun mereka berada di asrama.

Sokongan emosi dan moral daripada ibu bapa sangat penting untuk memastikan anak-anak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan berasrama. Ibu bapa perlu kerap berhubung, mengunjungi asrama dan menunjukkan mereka masih mengambil berat tentang kebajikan anak-anak.-UTUSAN

AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
SMK Dato’ Sulaiman, Parit Sulong

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN