SAUDARA PENGARANG,
PAHANG merupakan negeri yang paling luas di Semenanjung iaitu melebihi 3.5 juta hektar, sudah pasti mempunyai sumber tanah yang amat kaya jika dimanfaatkan secara maksimum.
Terdapat beberapa daerah mempunyai muka bumi yang lebih rendah dan berpaya, antaranya Temerloh, Maran, Pekan, Rompin, Bera, Jerantut dan Kuantan. Daerah- daerah ini terdapat paya semula jadi yang dahulunya merupakan kawasan tanaman padi yang luas dan terkenal walaupun sekadar untuk sara diri petani kampung ketika itu (dari zaman sebelum merdeka hingga awal 1970-an).
Selepas berlaku banjir besar pada 1971, aktiviti tanam padi semakin berkurangan dan terus terhenti pada awal 1980-an di kebanyakan kawasan tertentu.
Saya berpendapat adalah lebih baik paya-paya terbiar ini di aktifkan semula dengan tanaman padi. Walau bagaimanapun kaedah dah pelaksanaan projek perlu dipermodenkan dan lebih produktif.
Pengusaha, syarikat atau agensi kerajaan digalak mengambil alih projek ini dengan cara pajakan dari pemilik tanah.
Disebabkan kebanyakan paya mudah ditenggelami banjir, maka pihak kerajaan sepatutnya menggunakan kaedah yang lebih moden dalam mengatasi isu ini. Dalam masa sama, air sungai yang ada boleh dijadikan sumber bekalan untuk pengairan paya atau tanaman padi di tempat-tempat yang mudah kering.
Kaedah moden dan terkini serta pengubahsuaian struktur tanah sepatutnya mampu menjadikan projek tanaman lebih produktif dengan melaksanakan aktiviti penanaman dua musim atau lebih setiap tahun agar dapat mengeluarkan hasil yang maksimum.
Ini sekali gus dapat mengatasi masalah bekalan beras sekali gus mengurangkan kebergantungan kita terhadap berat import. Kita perlu mencontohi sesetengah negara maju yang ramai penduduk seperti United Kingdom (UK). Negara itu mengutamakan tanaman makanan asasi dengan mengawal ketat tanah pertanian makanan berbanding menjadikannya projek perumahan.
Kita sewajarnya mengambil pendekatan seimbang dengan menambah tanah dan projek pertanian makanan asasi.-UTUSAN
CICIT AKI BAJI
Mentakab, Pahang










