SAUDARA PENGARANG,
DALAM beberapa bulan kebelakangan ini, Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPEPH), badan yang ditugaskan untuk mengawal selia tingkah laku profesional industri hartanah, telah menerima laporan dan aduan mengenai individu yang menyamar sebagai Ejen Harta Tanah Berdaftar (REA) dan Perunding Perejenan Harta Tanah (REN) yang sah.
Penjenayah ini mengeksploitasi kepercayaan pembeli dan penyewa rumah dengan niat menipu. Aktiviti haram ini biasanya beroperasi melalui skim jual beli yang canggih dan menyamar sebagai REA dan REN untuk memanipulasi bakal pembeli atau penyewa agar memindahkan sejumlah wang sebagai deposit atau bayaran pendahuluan.
Sebaik sahaja wang dipindahkan, penjenayah ini menghilangkan diri dan meninggalkan mangsa dalam keadaan kewangan yang terjejas tanpa hartanah yang dijanjikan. Ini membahayakan integriti profesion dan menimbulkan risiko besar kepada pelanggan dan transaksi hartanah di negara ini.
LPEPH ingin mengingatkan orang ramai untuk tidak menjadi mangsa penipuan seperti ini dengan mengambil langkah-langkah seperti berikut:
Sahkan kelayakan: Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak kesahihan REA dan REN melalui laman web LPEPH di www.lppeh.gov.my. Nombor telefon bimbit yang diiklankan dalam mana-mana media mesti sepadan dengan nombor telefon yang disenaraikan dalam sistem LPEPH.
Periksa harta tanah: Memastikan harta tanah disahkan wujud sebelum membuat sebarang pembayaran. Berhati-hati dengan ejen yang enggan atau memberi alasan untuk tidak membenarkan pemeriksaan fizikal ke atas hartanah.
Kawal kaedah pembayaran: Gunakan kaedah transaksi pembayaran yang selamat dan elakkan memindahkan sejumlah wang yang besar tanpa dokumentasi dan pengesahan yang betul dan sah. Sentiasa pastikan pembayaran dibuat kepada agensi hartanah berdaftar dan pihak berkepentingan sah sahaja.-UTUSAN
PAMELA MARIE JEROME ANTHONY
Pendaftar Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta










