Harap kakitangan awam berubah bila gaji naik

Harap kakitangan awam berubah bila gaji naik

SEMOGA tempoh 100 hari ini menjadi penanda aras untuk penjawat awam merubah cara kerja agar lebih efisien.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

AKHIRNYA segala persoalan dalam kalangan 1.6 juta penjawat awam terjawab selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan secara rasmi pelarasan gaji.

Sesungguhnya penantian itu satu penyeksaan, hampir 12 tahun menanti berita baik ini. Dalam tempoh itu, kos sara hidup semakin meningkat sedangkan gaji masih di takuk lama.

Bukan satu rahsia apabila ramai penjawat awam melakukan kerja sambilan untuk menambah pendapatan keluarga, apatah lagi kalau isteri merupakan suri rumah sepenuh masa.

Diharapkan penjawat awam yang terlibat dapat menggunakan gaji ini dengan secara berhemah dan berdisiplin dalam menguruskan kewangan. Tidak perlu berkira-kira hendak menukar kereta baharu ataupun membelanjakan wang pada benda yang tidak diperlukan. Jangan ikut nafsu melihat orang lain bermewah.

Jika ini berlaku bermakna tambahan pendapatan hasil daripada pelarasan gaji tersebut menjadi tidak bermakna. Mereka yang terlibat akan membuat hutang baharu sedangkan hutang lama pun belum habis dilangsaikan.

Sepatutnya tambahan pendapatan yang dapat itu, digunakan membuat bayaran hutang sedia ada beransur-ansur sehingga habis.

Kalau dulu untuk membuat tabungan pun tidak lepas, mungkin dengan kenaikan gaji ini dapat membuat sedikit sebanyak tabungan seperti melabur di Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau mana-mana pelaburan kerajaan yang terjamin keuntungannya. Jangan sesekali terjebak dengan skim cepat kaya yang sekarang banyak bermaharaja lela di mana-mana.

Perdana menteri juga dengan tegas mengatakan bahawa Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini akan diberikan berdasarkan prestasi . Ini bermakna yang pemalas tidak akan ada ganjaran untuk mereka. Dalam hal ini ketua jabatan perlu bertindak tegas dan tidak ‘pilih bulu’.

Cuma yang menjadi persoalan dalam tempoh empat bulan, dengan SSPA yang akan dikuatkuasakan pada 1 Disember nanti, bagaimana hendak menilai prestasi kakitangan tersebut? Adakah penilaian prestasi itu akan dikira pada awal tahun depan? Adakah kakitangan pemalas dan selalu ‘hilang’ dari tempat kerja itu akan turut menerima nikmat bayaran fasa 1 sebanyak lapan peratus pada 1 Disember nanti? Ini menjadi satu perdebatan yang hangat sekarang.

Terima kasih perdana menteri mendengar suara hati penjawat awam. Semoga tempoh 100 hari ini akan menjadi tanda aras agar ada perubahan kerja dalam kalangan penjawat awam, bukannya ‘pi mai pi mai tang tu’.-UTUSAN

CIKGU JAMAL
Kuala Rompin, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN