SAUDARA PENGARANG,
MEMBACA merupakan amalan mulia yang sangat dianjurkan oleh Islam. Bahkan wahyu yang mula turun kepada junjungan Nabi Muhammad SAW memerintahkan supaya membaca sebagaimana yang disebut dalam al-Quran yang bermaksud “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (Surah Al- Alaq, ayat 1-5 ) .
Generasi muda perlu diajar agar jujur serta tidak mudah tertipu dengan bacaan ‘picisan’ dan ‘hiburan’ dari sumber media sosial yang bertebaran pelbagai maklumat tidak tepat serta tidak memberikan keuntungan terhadap hasil pengetahuan, hikmah kebijaksanaan mahupun pencapaian akademik yang didambakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui gagasan menggapai langit dan berakar ke bumi.
Penguasaan ilmu perlu dimantapkan melalui kaedah pembacaan yang mampu memberikan kesan signifikan terhadap pemikiran dan tindakan yang betul. Mengambil contoh bagaimana mengira dengan betul memerlukan pengarahan yang jelas melalui pembacaan yang teliti.
Selain kaedah pembacaan yang lengkap, Islam juga menuntut umatnya agar sentiasa berfikir dan memahami isi kandungan bacaan agar ia mampu meneroka alam pemikiran ilmu yang luas seperti yang dihasratkan Perdana Menteri terkait penerokaan sains teknologi dan dipasak kukuh dengan nilai dan adab mulia.
Bagi membangkitkan rasa cinta mendalam terhadap ilmu maka sudah tentu generasi muda perlu ke hadapan meneroka khazanah ilmu yang ditinggalkan Nabi Muhammad SAW bagi mengangkat ‘karamah insaniah’ yang berakar pada tradisi ilmu dan bimbingan guru yang mursyid.
Malaysia memerlukan anjakan paradigma terhadap kaedah pembacaan yang lebih berkualiti dan sudah tentu murabbi ummah marcapada perlu menyesuaikan diri dengan ‘pedagogi’ yang betul bagi menggalakkan pelajar rajin membaca.
Membaca landasan ilmu untuk membina karamah insaniah dan membina tamaduan bangsa yang luar biasa seperti tokoh-tokoh ilmuan Islam terdahulu yang hebat pemikiran dan hasil tulisan mereka.-UTUSAN
DR. ZURAIMY ALI
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis










