Galakkan minat murid dalam mata pelajaran matematik

Galakkan minat murid dalam mata pelajaran matematik

NARATIF bahawa matematik adalah subjek yang susah dan hanya untuk pelajar pandai perlu diubah. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MATEMATIK sering dianggap subjek yang sukar dan membosankan dalam kalangan pelajar di Malaysia. Stigma negatif terhadap matematik bukan sahaja melibatkan pelajar, tetapi juga meluas dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat umum. Namun, tahukah anda bahawa matematik sebenarnya sangat menyeronokkan dan memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita?

Banyak bidang profesional seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, ekonomi, sains, dan kecerdasan buatan (AI) memerlukan kemahiran matematik yang kukuh. Oleh itu, pelajar yang menghindari matematik mungkin menghadapi kesukaran mengakses peluang kerjaya yang lebih luas dan berpotensi tinggi.

BELAJAR MELALUI AKTIVITI HARIAN
Matematik bukan sekadar nombor dan formula yang perlu dihafal. Ia adalah asas kepada banyak perkara yang kita lakukan setiap hari. Dari mengira baki wang belanja hingga merancang perjalanan, matematik membantu kita membuat keputusan yang tepat. Matematik juga digunakan dalam teknologi yang kita gunakan seperti telefon pintar, komputer dan internet. Tanpa matematik, banyak inovasi yang kita nikmati hari ini mungkin tidak wujud.

Salah satu cara untuk menjadikan matematik lebih seronok adalah dengan mengaitkannya dengan aktiviti harian. Contohnya, apabila kita bermain permainan video, kita sebenarnya menggunakan konsep matematik seperti strategi, corak dan kebarangkalian. Begitu juga apabila kita memasak, kita perlu menggunakan pengiraan untuk memastikan resepi diikuti dengan betul. Dengan cara ini, matematik menjadi lebih relevan dan mudah difahami.

Di sekolah, para guru dan pendidik boleh menggunakan pendekatan pengajaran yang kreatif dan interaktif untuk menarik minat pelajar terhadap matematik. Aktiviti hands- on, permainan matematik dan penggunaan teknologi seperti aplikasi dan perisian pembelajaran matematik juga boleh menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan menyeronokkan. Dengan adanya teknologi ini, pelajar boleh belajar mengikut kadar dan gaya pembelajaran mereka sendiri, sambil menikmati proses pembelajaran.

Ibu bapa juga boleh membantu anak-anak mereka dengan menunjukkan bagaimana matematik digunakan dalam kehidupan seharian. Apabila anak-anak melihat bagaimana matematik digunakan dalam situasi yang mereka hadapi setiap hari, mereka akan lebih menghargai kepentingannya dan mungkin lebih berminat untuk belajar.

Naratif bahawa matematik adalah subjek yang susah dan hanya untuk pelajar pandai perlu diubah. Dengan menunjukkan bagaimana matematik digunakan dalam kehidupan seharian dan pelbagai kerjaya, pelajar dapat melihat nilai praktikal dan kepentingan subjek ini.

Pendedahan awal kepada matematik dalam suasana yang positif juga penting untuk membantu pandangan yang lebih baik terhadap subjek ini. Aktiviti pra-sekolah dan permainan yang melibatkan nombor dan pola boleh membantu kanak-kanak membina asas yang kukuh dan minat terhadap matematik sejak usia muda.

Stigma terhadap matematik adalah masalah yang nyata dalam kalangan pelajar dan masyarakat di Malaysia. Namun, dengan pendekatan yang tepat dan usaha berterusan, kita boleh mengubah persepsi negatif ini. Matematik adalah subjek yang penting dan menarik, yang memainkan peranan besar dalam kehidupan seharian serta masa depan kita. Mari kita bersama-sama berusaha untuk menghapuskan stigma ini dan membina minat serta keyakinan terhadap matematik dalam kalangan generasi muda kita. – UTUSAN

MOHAMED FARIS LAHAM
DR. NOR AIN AZEANY MOHD NASIR
Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN