Padang sama rata di PRK Sungai Bakap

Padang sama rata di PRK Sungai Bakap

JOOHARI Ariffin (kanan) berdepan Abidin Ismail dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 6 Julai ini. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINJAUAN kami tentang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), Sungai Bakap pada minggu pertama didapati agak sedikit perlahan dan kurang rancak tetapi setakat ini calon Kerajaan Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin ligat mengatur gerak dengan menemui pengundi di setiap kawasan.

Joohari akan bertembung dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.

Para pengamat politik berpandangan terdapat peluang sama rata dengan kedua-dua calon berada pada posisi yang boleh meyakinkan para pengundi.

Biarpun Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan calon hebat namun isu-isu seperti subsidi diesel mungkin memberi sedikit kesan dalam pola pengundian nanti.

Sedangkan Abidin pula dikatakan sudah biasa dengan penduduk di sekitar Sungai Bakap dan bekerja sebagai Pegawai Khas kepada Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Menurut sumber rapat, Abidin lebih dikenali penduduk kerana merupakan seorang aktivis politik walaupun hanya berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun itu bukanlah prasyarat utama untuk menjadi wakil rakyat.

Lagipun trend sokongan rakyat dalam pilihan raya sebelum ini jarang-jarang mengambil kira aspek kelulusan calon bertanding sebaliknya bergantung pada tawaran yang akan dijanjikan.

Di sisi lain, kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri sepanjang tempoh berkempen ini setidak-tidaknya dapat meraih perhatian malah menambat hati pengundi.

Begitu juga di pihak pembangkang yang mana pemimpin tertingginya turut turun membantu calon.

Oleh kerana itu PRK pada kali ini dianggap begitu sengit. Masing-masing punya tekad dan matlamat khususnya dengan Kerajaan Perpaduan berazam mahu merampas kembali kerusi yang pernah menjadi milik mereka selama tiga penggal sejak 2008, sebelum dirampas Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, Ogos tahun lalu.

Namun jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan usah terlalu leka kerana terdapat kecenderungan yang pengundi bukan Melayu terutamanya kaum India menyatakan sokongan kepada PN.-UTUSAN

MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN