Naikkan nilai pelancongan melalui inap desa

Naikkan nilai pelancongan melalui inap desa

PELANCONG yang berpuas hati cenderung untuk kembali dan memberikan testimoni yang positif kepada pelancong lain sekali gus mempromosikan inap desa tersebut secara percuma. – GAMBAR UMT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SECARA tradisinya, penilaian inap desa menumpukan kepada atribut produk semata-mata namun kini ia telah beralih kepada pelancongan pengalaman yang lebih personal dan unik. Pelancong ingin merasai suasana yang berbeza dan menarik, mewujudkan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Ini memberi dorongan kepada keperluan untuk menaiktaraf dan memperbaiki kualiti homestay yang sedia ada.

Salah satu unsur penting dalam menaiktaraf inap desa adalah penggunaan produk ‘suasana’ (ambience). Suasana bukan sekadar berkaitan dengan reka bentuk dalaman yang menarik, tetapi juga meliputi aspek pencahayaan, susun atur ruang serta elemen deria seperti warna, aroma dan muzik.

Dengan menumpukan kepada pelancongan pengalaman, pengusaha inap desa perlu menaiktaraf dan mengoptimumkan suasana di tempat mereka. Suasana yang baik tidak hanya meningkatkan kepuasan pelancong tetapi juga dapat meningkatkan kesetiaan mereka terhadap inap desa tersebut.

Pelancong yang berpuas hati dengan pengalaman mereka cenderung untuk kembali dan memberikan testimoni yang positif kepada pelancong lain sekali gus mempromosikan inap desa tersebut secara percuma.

Kelebihan lain adalah kemampuan untuk meletakkan harga berdasarkan nilai dan keunikan inap desa berbanding persaingan berdasarkan kepada harga. Ini membolehkan pemilik inap desa untuk menarik segmen pasaran yang lebih khusus dan bersedia membayar untuk pengalaman yang unik.

Sebagai respon, sebuah bengkel kecantikan inap desa dijalankan dengan kerjasama antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan beberapa persatuan pelancongan tempatan yang dibiayai melalui Skim Dana Asimilasi Pengetahuan dan Teknologi (KTAGS) di bawah tadbir urus Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri Masyarakat (PPIJIM) UMT.

Kolaborasi yang kuat antara universiti, persatuan tempatan dan pengusaha inap desa adalah kunci keberhasilan dalam membangunkan industri pelancongan yang mapan dan inovatif.

Melalui usaha bersama ini, industri ini akan dapat terus berkembang serta memenuhi tuntutan pelancong yang semakin cerdas dan kritis terhadap pengalaman percutian mereka.-UTUSAN

DR. NOOR ZATUL IFFAH HUSSIN
Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN