Pemain industri maritim mahu penjelasan status laporan SPRM, isu maritim - Utusan Malaysia

Pemain industri maritim mahu penjelasan status laporan SPRM, isu maritim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakar industri maritim meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan penjelasan mengenai status laporan yang dibuatnya pada Jun lalu berkaitan isu pengendalian kargo petroleum di Tanjung Langsat, Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd Datuk Seri R. Jeyenderan berkata, pihaknya telah beberapa kali hadir ke pejabat SPRM dan menyerahkan dokumen serta maklumat berkaitan, namun setakat ini masih belum menerima penjelasan bertulis mengenai perkembangan atau keputusan laporan berkenaan.

Jeyenderan berkata, beliau menerima empat e-mel dan SMS daripada SPRM yang antara lain memaklumkan laporan itu masih dalam tindakan, namun berharap pihak berkuasa dapat memberikan perkembangan lanjut selepas beberapa bulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya menerima empat e-mel bermula Jun dan SMS pada September yang menyatakan kes dalam ‘Tindakan SPRM’. Kami memahami proses siasatan memerlukan masa, namun kami berharap dapat diberikan penjelasan mengenai status terkini laporan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengharapkan sebarang layanan khas atau keputusan tertentu, sebaliknya hanya mahu mengetahui sama ada laporan itu masih dalam siasatan, memerlukan maklumat tambahan atau telah ditutup.

“Sekiranya perkara ini masih dalam siasatan, kami menghormati proses tersebut. Jika ia telah ditutup atau diklasifikasikan sebagai NFA (Tiada Tindakan Lanjut), kami juga berharap perkara itu dapat dimaklumkan apabila dibenarkan,” katanya.

Laporan yang dibuat pada 5 Jun itu berkaitan dakwaan percanggahan antara bil muatan (bill of lading) dengan pergerakan fizikal kargo petroleum di Tanjung Langsat, Johor.

Jeyenderan berkata, isu berkenaan mempunyai kepentingan lebih luas kerana melibatkan kargo petroleum antarabangsa, dokumentasi perdagangan, prosedur Kastam, kebolehkesanan kargo serta perkara berkaitan hasil kerajaan.

Selain SPRM, beliau turut meminta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memberikan pendirian bertulis mengenai layanan Kastam terhadap kargo terbabit susulan beberapa perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan.

Menurutnya, isu itu membabitkan kargo petroleum bernilai lebih RM220 juta yang diisytiharkan di bawah prosedur K8, termasuk aspek pemunggahan, penyimpanan dalam tangki darat serta persoalan berkaitan proses pencampuran atau pengadunan dengan stok sedia ada.

“Kami mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan minggu lalu dan difahamkan tiada duti dikenakan ke atas kargo seperti yang dikemukakan. Bagaimanapun, kami masih berharap pendirian rasmi secara bertulis dapat diberikan oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Beliau berkata penjelasan bertulis penting bagi membantu pemain industri memahami prosedur dan keperluan dokumentasi yang perlu dipatuhi, terutama apabila melibatkan transaksi serta kargo petroleum antarabangsa.

Katanya, kepastian mengenai prosedur dan kawal selia juga penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan syarikat perkapalan, pengendali terminal, pemilik kargo serta pemain lain dalam rantaian industri petroleum hiliran.

Jeyenderan berkata beliau menghormati bidang kuasa SPRM dan JKDM serta memahami bahawa terdapat maklumat tertentu yang mungkin tidak dapat didedahkan selagi proses semakan atau siasatan masih berjalan.

“Permintaan kami adalah untuk mendapatkan kepastian mengenai status laporan dan prosedur yang terpakai, bukannya untuk mendapatkan sebarang keputusan yang memihak kepada syarikat kami.

“Kami akan terus menggunakan saluran yang sewajarnya untuk mendapatkan penjelasan dan pada masa sama menghormati proses serta bidang kuasa pihak berkuasa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN