Masjid, surau bantu tangani penderaan kanak-kanak

Masjid, surau bantu tangani penderaan kanak-kanak

MASJID dan surau memainkan peranan penting dalam menyebarkan ilmu dan juga sebagai tempat perlindungan sementara bagi mangsa dera kanak-kanak. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

INSTITUSI masjid dan surau boleh memainkan peranan penting sebagai pusat komuniti yang mampu menggalakkan perpaduan, menyebarkan ilmu dan mendidik masyarakat.

Salah satu isu kritikal yang perlu diberi perhatian oleh institusi ini ialah masalah penderaan kanak-kanak.

Pertama, masjid dan surau boleh menjadi pusat untuk mendidik masyarakat tentang bahaya dan kesan penderaan. Melalui khutbah Jumaat dan ceramah agama, isu penderaan boleh diketengahkan dengan lebih mendalam agar masyarakat lebih peka selain bersedia untuk bertindak sekiranya terdapat kes berkenaan.

Selain itu, boleh juga menganjurkan program kesedaran dan latihan dengan melibatkan pakar dalam bidang psikologi kanak-kanak, kebajikan sosial dan pihak berkuasa tempatan. Melalui program ini, para peserta boleh mempelajari cara menangani kes penderaan dan bagaimana untuk melindungi kanak-kanak dari menjadi mangsa. Penglibatan komuniti dalam program ini juga boleh memperkukuh jaringan sokongan bagi mangsa penderaan.

Peranan institusi masjid dan surau juga boleh dilihat melalui pembinaan jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kerjasama ini penting untuk memberikan bantuan yang komprehensif kepada mangsa penderaan. Contohnya, boleh bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberikan perlindungan kepada mangsa dan mengaturkan sesi kaunseling bagi memulihkan trauma yang dialami oleh kanak-kanak tersebut.

Selain daripada itu, masjid dan surau boleh menyediakan ruang selamat sebagai tempat perlindungan sementara menunggu tindakan lanjut dari pihak berkuasa.

Masjid dan surau juga boleh memainkan peranan dalam mengadakan aktiviti mesra kanak-kanak. Aktiviti seperti kelas mengaji, kelas fardu ain dan program kemasyarakatan boleh memberikan ruang bagi kanak-kanak untuk berinteraksi dalam persekitaran yang selamat dan positif.

Melalui aktiviti-aktiviti ini, kanak-kanak dapat merasa dihargai dan mendapat perhatian yang sewajarnya daripada komuniti.

Selain itu, masjid dan surau boleh berfungsi sebagai pusat aduan bagi kanak-kanak yang didera. Dengan menyediakan kaunter aduan atau nombor telefon kecemasan, mangsa penderaan atau saksi boleh melaporkan kes penderaan dengan lebih mudah dan cepat. Ini penting untuk memastikan tindakan pantas dapat diambil untuk melindungi kanak-kanak yang didera.

Peranan imam dan ahli jawatankuasa masjid juga amat penting dalam menangani masalah penderaan. Mereka perlu bersikap proaktif dalam mengenal pasti dan melaporkan kes penderaan kepada pihak berkuasa. Selain itu, mereka juga boleh berfungsi sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah keluarga yang mungkin menjadi punca penderaan.

Seterusnya, institusi masjid dan surau boleh menjalankan kajian tentang masalah penderaan kanak-kanak dalam komuniti untuk memahami punca-punca penderaan dan mencari penyelesaian yang berkesan. Dengan data dan maklumat yang dikumpulkan, tindakan yang lebih tepat dan berkesan dapat diambil untuk mengatasi masalah ini.-UTUSAN

MINHAT DAUD
Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×