SAUDARA PENGARANG,
TUN Dr. Mahathir Mohamad bukan sahaja satu susuk lelaki yang berpengalaman, malah beliau kini adalah sebuah institusi. Institusi yang mana, banyak orang bergantung dengannya secara atau tanpa sedar.
Bagi musuh politiknya, nama Dr. Mahathir dipetik sebagai ‘Firaun’ yang menjadi indikasi keberanian sementara bagi yang memujanya pula, beliau dianggap ‘alma meter’ kepada prestasi atau pencapaian beliau.
Apa jua persepsi atau kritikan ke atasnya, beliau sendiri boleh menjawabnya. Beliau tidak perlu sesiapa untuk mempertahankan dirinya.
Banyak pihak yang berusaha menjadikannya tidak lagi releven, mereka mengkritiknya, kadangkala menghinanya.
Saya mahu memberitahu bahawa dengan mengkritik Dr. Mahathir, tidak akan menjadikan mereka relevan atau disegani. Selalu yang berlaku, kritikan itu hanya menunjukkan kurang cerdik diri sendiri.
Dalam satu laporan media, baru-baru ini, Dr. Mahathir didakwa punca perpecahan orang Melayu. Penyatuan atau perpecahan tidak mungkin boleh terjadi dalam satu malam dan tidak mungkin mampu dibuat oleh satu orang.
Justeru, jika pengkritik mahu berlaku adil atas punca perpecahan orang Melayu, maka mereka patut menyalahkan individu yang menjadikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Tetapi itu juga tidak adil apabila meletakkan kesalahan kepada semua pemimpin kita.
Dan saya yakin, kalau diteruskan kajian ini, maka hujungnya akan bertemu dengan keturunan Wan Empok Wan Malini dari Bukit Si Guntang. Tahap ini, mungkin cerita dongeng akan bercampur dengan cerita sains, maka jadilah kisah sains fiksyen.
Dengan kata lain, kritikan tersebut tiada sandaran yang utuh, hanya cakap ikut sedap mulut. Tidak ada wacana, jauh sekali ada kebaikan untuk diri mereka sendiri.
Mengkritik sebuah institusi memang perlu, tetapi biarlah adil kepada sejarah dan kepada diri sendiri.-UTUSAN
MAHDZIR IBRAHIM
Individu dalam labirin politik










