SAUDARA PENGARANG,
BARU-baru ini, negara dibawa mendasari polemik terkait gaya hidup ‘childfree’ (untuk tidak memiliki cahaya mata) yang dikatakan mula merebak di Malaysia susulan beberapa video yang tular di media sosial memaparkan pasangan muda di negara kita yang mempromosi kerangka fikiran perkahwinan tanpa zuriat.
Salah satu faktor yang diyakini mendorong pasangan untuk mempraktik gaya hidup tanpa zuriat ini iaitu belenggu kewangan yang dihadapi isi rumah.
Menyorot hujah kalangan yang mengamalkan inisiatif untuk tidak memiliki anak, ternyata kekhuatiran mereka terhadap kemandirian kewangan di masa hadapan adalah antara faktor paling besar.
Bahawasanya Allah berjanji dalam al-Quran perihal jaminan akan rezeki anak-anak misalnya di dalam Surah Al-Isra ayat 31, firman-Nya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.”
Para pendakwah juga pastinya akan mengingatkan mereka kepada sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud: “Kahwinilah kamu akan wanita yang penyayang dan subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang ramai.”
Sebagai umat Islam, kita sewajarnya menghayati dan menjadikan dalil ini sebagai panduan. Pada masa sama, kita juga tidak boleh memejam sebelah mata terhadap hakikat wujudnya belenggu kewangan ini dalam kalangan masyarakat kita.
Tuntasnya, umat Islam perlu menyusun strategi dan prioriti untuk memperbaiki kedudukan kewangan individu, isi rumah dan seterusnya masyarakat.
Bersempena Sambutan Tahun Baharu Hijrah 1446, saya ingin mencadangkan lima langkah berikut sebagai strategi untuk mendarjatkan kembali ekonomi umat Islam.
Pertama, umat Islam perlu menguasai asas literasi kewangan. Literasi kewangan ialah keupayaan menguasai dan menguruskan kewangan peribadi secara efektif.
Keduanya, pasangan yang mempunyai anak dianjurkan untuk memberi pendedahan awal pelaburan kepada anak-anak seawal usia.
Strategi ketiga ialah dengan menggalakkan penyertaan masyarakat ke bengkel literasi dan pengurusan kewangan secara berkala mengikut tahap kesesuaian.
Seterusnya, umat Islam juga perlulah bersifat cakna dan menyediakan persiapan pengurusan wasiat dan faraid yang teratur demi memastikan hak para waris terjamin.
Akhir sekali, umat Islam juga diseru berperanan lebih proaktif dalam menjana ekonomi umat Islam sendiri tanpa perlu lagi bergantung kepada bekalan produk import atau jenama lebih terkenal.
Krisis kemanusiaan di Gaza antara lain telah membuka mata umat Islam akan keperluan menceburi bidang ekonomi dan memiliki sumber perniagaan sendiri.
Penglibatan umat Islam dalam menggembleng usaha melaksanakan strategi yang dianjurkan ini diyakini mampu mencetus impak positif kepada seluruh warga negara ini.
Ia juga diharap dapat membantu umat Islam mengurus kewangan secara sistematik dan membebaskan diri dari belenggu kewangan.
Justeru, umat Islam di negara ini diseru untuk menguatkan iltizam dan memberi keutamaan untuk meningkatkan ilmu literasi kewangan demi memperkukuh ekonomi umat Islam seiring tema Al Falah Pemacu Malaysia Madani.-UTUSAN
DR. AHMAD FAWWAZ MOHD NASARUDIN
Jabatan Kewangan
Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia











