SAUDARA PENGARANG,
MALAYSIA merupakan tuan rumah kepada hampir 190,000 orang pelarian. Menurut data daripada Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR), sehingga Mei lalu terdapat seramai 189,340 orang pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan badan tersebut di Malaysia.
166,290 orang daripada angka tersebut adalah pelarian warga Myanmar, 66.7 peratus daripada mereka merupakan etnik Rohingya manakala selebihnya terdiri daripada kumpulan etnik Myanmar lain.
Terdapat juga pelarian dari pelbagai negara lain termasuk Pakistan, Yaman, Somalia, Syria, Afghanistan, Sri Lanka, Iraq serta Palestin. Sebahagian besar pelarian di Malaysia tertumpu di negeri Pantai Barat Semenanjung iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Kedah.
Pelarian tidak terlepas daripada pelbagai tanggapan negatif disebabkan jurang dalam pergaulan seharian.
Dr. Melati Nungsari dan Rachel Decruz daripada Asia School of Business berkongsi kajian mereka bahawa rakyat Malaysia umumnya mempunyai tanggapan negatif terhadap pelarian, seperti mereka terlibat dalam jenayah dan akan merampas peluang pekerjaan warga tempatan.
Walhal tanggapan ini hanyalah persepsi semata dan dapat dipadamkan dengan pendidikan serta berinteraksi dengan satu sama lain. Tanggapan ini mungkin disebabkan oleh pengalaman peribadi sebahagian daripada kita, tetapi itu tidak bermaksud keseluruhan pelarian mempunyai keperibadian serupa.
Benar kerana nila setitik, rosak susu sebelanga namun sebahagian besar pelarian yang tidak bersalah perlulah dilayan selayaknya manusia.
Kita boleh memainkan peranan penting dalam membantu menawarkan penyelesaian terhadap permasalahan cabaran yang dihadapi oleh pelarian.
Sebagai anggota masyarakat, kita boleh menyertai pelbagai aktiviti sukarelawan yang melibatkan komuniti pelarian agar dapat mengenali dan berinteraksi dengan mereka.
Selain itu, berikan sokongan anda kepada syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana yang mengambil pelarian sebagai pekerja supaya masyarakat awam dapat membuka mata akan manfaat terhadap ekonomi apabila pelarian turut dilibatkan bersama.
Pihak kerajaan pula perlu segera melaksanakan perubahan dasar dan merangka undang-undang yang mengiktiraf hak pelarian di Malaysia agar mereka mempunyai capaian terhadap pendidikan, perkhidmatan kesihatan serta peluang pekerjaan.
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) pernah menerbitkan kajian pada tahun 2019 yang menunjukkan bahawa memberikan hak bekerja kepada pelarian akan memberikan manfaat ekonomi yang besar kepada negara.
Kumpulan ini akan menyumbangkan sekurang-kurangnya RM3 bilion Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan juga peningkatan kutipan cukai sebanyak RM50 juta. Semakin besar pendapatan pelarian, semakin rancaklah ekonomi masyarakat sekeliling mereka.
Bukankah wang ini akan pergi kepada para peniaga yang ada di sekitar komuniti pelarian dan menguntungkan masyarakat itu sendiri?
Tindakan mengiktiraf hak pelarian ini juga seiring dengan komitmen kerajaan pada 2022 melalui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Hak dan Akses kepada Pendidikan untuk Pelarian dalam membantu dan melindungi hak pelarian.
Sementelah pula, usaha ini selari dengan teras Malaysia Madani yang keenam, iaitu ihsan.
Sebagaimana peribahasa, ayam berinduk, sirih berjunjung, kerajaan sebagai pemerintah harus mengambil tanggungjawab melindungi pelarian. Malaysia perlu kotakan apa yang dikata.-UTUSAN
ZUHDI FARHAN
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)










