Lindungi hidupan liar di jalan raya - Utusan Malaysia

Lindungi hidupan liar di jalan raya

KERAJAAN digesa memastikan laluan selamat di jalan raya kita bagi hidupan liar melalui pelbagai langkah seperti pelaksanaan zon pengurangan kelajuan di kawasan yang mempunyai aktiviti hidupan liar yang tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

LAPORAN Ketua Audit Negara 2022 melaporkan sejumlah 2,562 kejadian hidupan liar terbunuh di jalan raya antara tahun 2016 dan 2021, dengan Pahang mencatatkan bilangan tertinggi kes seperti itu iaitu 755. Negeri lain yang disebut termasuklah Johor, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kedah.

Haiwan yang terbunuh termasuklah binturong (beruang kucing), gajah, beruang, harimau bintang, tenggiling, kambing gunung, harimau dan harimau dahan. Kera kerap menjadi mangsa, dengan 491 kes dilaporkan, diikuti tapir dengan 102 kes.
Terdapat juga pelbagai amfibia, reptilia dan burung yang turut menjadi mangsa kemalangan jalan raya tetapi tidak didokumenkan secara rasmi. Peningkatan berterusan dalam kejadian kemalangan jalan raya benar-benar membimbangkan.

Pada Mac 2024, seekor tapir kehilangan nyawa secara tragis dalam kemalangan motosikal di sepanjang Jalan Sungai Panjang, berlaku dalam tempoh sehari apabila harimau dahan dilanggar kenderaan di Lebuhraya Pantai Barat (WCE).
Kemalangan jalan raya melibatkan kematian Harimau Malaya pada awal Julai adalah yang keempat melibatkan spesies terancam dalam tempoh sembilan bulan dan setakat 2022, terdapat kurang daripada 150 ekor yang tinggal di negara ini.

Adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk menyedari bahawa kemalangan jalan raya bukanlah kejadian biasa. Normalisasi melihat bangkai haiwan di jalan raya telah mengurangkan kepekaan orang ramai terhadap penderitaan dan kesannya terhadap hidupan liar kita yang sudah terancam.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk memastikan laluan selamat di jalan raya kita bagi hidupan liar melalui pelbagai langkah seperti pelaksanaan zon pengurangan kelajuan di kawasan yang mempunyai aktiviti hidupan liar yang tinggi dan penggunaan pemantul hidupan liar dan menjalankan lebih banyak kajian ekologi jalan untuk memahami langkah pengurangan yang lebih berkesan supaya mampu untuk melaksanakan pembangunan jalan yang lebih mesra alam sekitar.

Meletakkan potongan hidupan liar bersaiz sebenar yang ditempatkan di sepanjang lebuh raya di mana pemandu memandu laju dan di lokasi titik panas ternyata berkesan di Thailand. Satu lagi idea bernas ialah ilusi optik 3D untuk menghalang kereta daripada melanggar haiwan di Khao Yai, Nakhon Ratchasima, Thailand.

Langkah selanjutnya termasuklah mengubah tingkah laku pemandu, kurang berpengetahuan dan bersifat antagonis terhadap hidupan liar. Ini boleh dicapai dengan menyepadukan program kesedaran dan pendidikan ke dalam pengajaran pemanduan dan melalui usaha jangkauan awam.

Kepentingan hidupan liar perlu disepadukan ke dalam sukatan pelajaran sekolah untuk memupuk rasa kebertanggungjawaban sejak usia muda lagi. Adalah penting untuk melaksanakan perancangan dan reka bentuk jalan yang lebih teliti. Membina pelbagai lintasan hidupan liar yang disepadukan dengan unsur-unsur daripada hutan tropika, seperti tumbuh-tumbuhan, pokok dan jenut garam, boleh membantu menarik hidupan liar.

Selain itu, penggunaan pagar yang strategik boleh membimbing haiwan ke arah lintasan ini dengan berkesan, mengurangkan risiko haiwan melintas jalan di lokasi yang tidak dapat diramalkan. Memelihara keterkaitan ekologi melalui koridor adalah penting bagi pemuliharaan hidupan liar sekarang lebih daripada sebelumnya. Kawasan perlindungan dan saling berhubungan memainkan peranan penting dalam meningkatkan biodiversiti dan memerangi pemecahan habitat. – UTUSAN

MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN