SAUDARA PENGARANG,
PERKONGSIAN menerusi penulisan bukan sahaja penting untuk perkembangan peribadi seseorang, tetapi juga untuk menyebarluaskan ilmu dalam kalangan masyarakat. Penulisan yang bermanfaat dapat memberikan pengetahuan baharu kepada pembaca. Sebagai contoh, penulisan berbentuk perkongsian tip, panduan atau informasi baharu.
Penulisan yang berunsur kritikan sosial mampu menggalakkan masyarakat untuk berfikir dengan kritis selain merefleksi diri. Hal ini mampu memberi peluang kepada masyarakat untuk berdiskusi dengan lebih mendalam tentang sesuatu isu yang dibahaskan. Kritikan sosial kebiasaannya tidak hanya menekankan permasalahan yang berlaku, tetapi juga saranan untuk langkah penambahbaikan sesuatu isu.
Apa yang lebih utama, matlamat kritikan sosial dalam penulisan adalah untuk menjadi pemangkin dan titik tolak ke arah perubahan yang lebih positif. Sebagai contoh, tulisan yang mengangkat isu berbentuk cadangan penyelesaian kepada sesuatu permasalahan. Penulisan seperti contoh tersebut mampu menjadi pendorong dan memberi impak positif ke arah perubahan sosial.
Dalam keterujaan menulis, setiap individu haruslah bertanggungjawab ke atas penulisan mereka. Elakkan menulis sesuatu jika kita bukan ahlinya. Tidak salah untuk berkongsi maklumat, namun setiap penulisan kita haruslah berlandaskan fakta yang sebenar dan bukannya sekadar rekaan atau andaian semata. Hal ini penting bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.
Memetik kata-kata Saidina Ali bin Abi Thalib, “Semua penulis akan mati, hanya karyanya akan terus abadi. Maka tulislah sesuatu yang akan membahagiakanmu di akhirat nanti.” Setiap daripada kita sudah pasti memiliki sesuatu informasi atau pengalaman berharga untuk kita kongsikan kepada orang di sekeliling kita. Maka, tulislah sesuatu yang bermanfaat, bukannya sesuatu yang mengundang padah kepada diri sendiri pada kemudian hari. – UTUSAN
FARHANA ABD HAMID
Jabatan Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










