Ibu bapa tunjang utama galak perkembangan kanak-kanak autisme

Ibu bapa tunjang utama galak perkembangan kanak-kanak autisme

PEMERKASAAN ibu bapa memainkan peranan penting dalam menggalakkan perkembangan kanak-kanak dengan autisme. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PEMERKASAAN ibu bapa dalam melaksanakan terapi untuk anak-anak dengan autisme memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa dan ahli profesional kesihatan seperti ahli terapi cara kerja, ahli terapi pertuturan dan ahli psikologi klinikal.

Ibu bapa perlu diberikan sokongan emosi dan motivasi secara berterusan kerana menjalankan terapi untuk anak mereka di rumah bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan boleh menyebabkan ibu bapa merasa tertekan dan terbeban.

Oleh itu, kerjasama yang erat antara kedua-dua pihak ini dapat memastikan bahawa intervensi yang dilaksanakan adalah berkesan, berterusan dan menyokong emosi ibu bapa.

Pemerkasaan ibu bapa mestilah berpusatkan keluarga, dengan intervensi yang disarankan mudah diaplikasikan di rumah oleh ibu bapa. Ini bermakna intervensi harus disesuaikan dengan rutin harian keluarga dengan mengambil kira keperluan serta kemampuan ibu bapa.

Melalui pendekatan berpusatkan keluarga, ibu bapa dapat melaksanakan intervensi dalam persekitaran yang selesa bagi anak-anak mereka, yang mana ini boleh meningkatkan keberkesanan intervensi tersebut. Teknik-teknik yang diajarkan kepada ibu bapa haruslah mudah difahami dan diaplikasikan dalam aktiviti harian seperti waktu makan, bermain dan waktu tidur. Ini memastikan bahawa intervensi tersebut dapat dijalankan secara konsisten dan berterusan, sekaligus memberikan impak yang lebih besar kepada perkembangan anak.

Untuk memperkasakan ibu bapa, ahli profesional kesihatan perlu mengajar mereka teori-teori berkaitan dengan interaksi sosial, komunikasi dan tingkah laku positif. Ibu bapa juga perlu diberi latihan praktikal oleh ahli profesional kesihatan agar teknik yang dilaksanakan kelak berkesan dan menepati matlamat yang ingin dicapai. Latihan ini boleh melibatkan sesi langsung di mana ibu bapa dan anak-anak berinteraksi di bawah pengawasan ahli profesional kesihatan, serta sesi latihan dalam talian yang lebih fleksibel dari segi masa dan lokasi.

Bimbingan berterusan adalah penting agar ibu bapa dapat meningkatkan perkembangan anak-anak mereka dari semasa ke semasa.

Di zaman teknologi yang canggih ini, bimbingan boleh dibuat secara maya kerana perjumpaan secara fizikal memakan kos dan tenaga.

Sesi bimbingan maya melalui panggilan video atau webinar dapat memberikan sokongan yang sama berkesannya dengan sesi bimbingan fizikal, tetapi dengan kos yang lebih rendah dan menjimatkan tenaga.

Pemerkasaan ibu bapa memainkan peranan penting dalam menggalakkan perkembangan kanak-kanak dengan autisme. Pendekatan ini tidak hanya membantu dalam meningkatkan kemahiran interaksi sosial, komunikasi, dan tingkah laku positif, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara ibu bapa dan anak.

Oleh itu, adalah penting bagi semua pihak, termasuk ibu bapa dan ahli profesional kesihatan untuk bekerjasama dalam usaha menggalakkan perkembangan kanak-kanak dengan autisme melalui pemerkasaan ibu bapa.

Dengan latihan dan sokongan yang tepat, ibu bapa dapat menjadi agen perubahan yang efektif dalam kehidupan anak-anak mereka, memberikan mereka peluang terbaik untuk berkembang dan mencapai potensi yang penuh. – UTUSAN

DR. AHMAD ZAMIR CHE DAUD
Pusat Pengajian Terapi Pemulihan Carakerja
Fakulti Sains Kesihatan
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN