SAUDARA PENGARANG,
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa amat bimbang dengan berita mengenai pengeluaran permit memburu buaya sepanjang tahun di Sabah. Populasi buaya liar Sabah telah pulih di negeri itu sejak ia dilindungi undang-undang pada 1982.
Masyarakat tempatan menganggap buaya sebagai ancaman serius kepada nyawa dan mata pencarian.
Akibatnya, ramai yang percaya bahawa penghapusan adalah satu-satunya penyelesaian lanjutan daripada kematian yang berlaku. Bagaimanapun, lesen memburu terbuka Sabah untuk mengurangkan konflik buaya-manusia mungkin tidak berkesan.
Pada masa ini, ketidakpastian dalam memburu buaya menimbulkan keraguan mengenai bilangan buaya yang dibenarkan setiap pembunuhan, serta kriteria yang digunakan untuk menentukan jenis buaya yang diluluskan untuk dibunuh atau ditangkap.
Tambahan pula, kebimbangan wujud mengenai potensi eksploitasi atau penggunaan tidak wajar permit memburu, membolehkan pemburu terlibat dalam usaha mengejar fauna yang terancam dan tergugat dalam kawasan hutan.
Pendekatan menyeluruh perlu merangkumi pelbagai teknik, termasuk penubuhan kawasan perlindungan dan sanktuari hidupan liar di mana buaya boleh hidup tanpa gangguan daripada manusia; pengubahsuaian habitat berhampiran penempatan manusia untuk menghalang buaya daripada bersembunyi atau bersarang; tinjauan rutin dan pemantauan populasi buaya untuk mengumpul maklumat mengenai saiz dan kesihatannya; pemerhatian pergerakan buaya yang kerap ke kawasan berhampiran dengan masyarakat; penempatan penguatkuasa undang-undang untuk mengawal aktiviti manusia berhampiran habitat buaya; penubuhan pasukan tindak balas terhadap laporan buaya yang tidak mudah dikawal; dan pemindahan buaya dari kawasan konflik yang panas ke kawasan terpencil atau rizab buaya.
Pilihan lain termasuklah menyediakan mata pencarian alternatif kepada masyarakat yang amalan menangkap ikan meletakkan mereka dalam bahaya serangan buaya dan memberi pampasan kepada komuniti yang mengalami kerugian akibat serangan buaya ke atas harta benda atau ternakan.
Penglibatan komuniti adalah penting, termasuk skim pemantauan oleh komuniti, latihan dalam memerhati dan mengendalikan buaya, ceramah pendidikan, dan aktiviti interaktif.
CAP menggesa hentikan permit memburu buaya sepanjang tahun dan mengutamakan penyelidikan untuk mengawal populasi buaya dan menguruskan konflik manusia-buaya dengan berkesan. Tumpuan perlu diberikan kepada mempromosikan pendidikan dan bukannya pembasmian. – UTUSAN
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)










