Bimbang subsidi RON95 ditarik balik secara mengejut

Bimbang subsidi RON95 ditarik balik secara mengejut

PENDEKATAN lebih berhati-hati dan berstruktur amat diperlukan memandangkan RON95 melibatkan jauh lebih ramai pengguna, berbanding diesel.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBAGAI ahli akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR), saya ingin meluahkan kebimbangan mengenai Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk melaksanakan dasar subsidi bersasar untuk petrol RON95.

Saya hormati Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR yang banyak mencurahkan bakti kepada parti, terutamanya semasa kami berada di pembangkang.

Namun, kebelakangan ini, Rafizi dilihat mengalami defisit kepercayaan dalam kalangan masyarakat umum, terutamanya kecendorongan beliau untuk mengeluarkan kenyataan yang kurang sensitif.

Contohnya, dalam satu wawancara baru-baru ini, beliau menyatakan kerajaan akan mengumumkan penyasaran subsidi untuk petrol RON95 secara mengejut.

Kenyataan ini menimbulkan kebimbangan kerana pendekatan kejutan ini bukanlah cara yang paling sesuai untuk menangani isu yang melibatkan keperluan asas rakyat.

Sebagai pemimpin politik, beliau patut lebih sensitif dalam menjaga kata-kata dan rendah diri, bukan bersifat angkuh dan bongkak.

Mungkin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh mempertimbang Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk melaksanakan dasar penyasaran subsidi RON95.

Bagi saya, Amir Hamzah menjalankan tugas dengan baik dalam penyasaran subsidi diesel yang diperkenalkan sejak 10 Jun lalu.

Memandangkan RON95 dan diesel adalah berkaitan, Kementerian Kewangan seharusnya menyelaraskan pelaksanaan bagi RON95.

Pendekatan yang lebih berhati-hati dan berstruktur amat diperlukan memandangkan RON95 melibatkan jauh lebih ramai pengguna, berbanding diesel.

Sebagai ahli akar umbi PKR, saya ingin melihat perpaduan dalam kerajaan terus terpelihara serta rakyat mendapat manfaat daripada dasar yang diuruskan dengan bijaksana dan berhemah. Sekarang bukan masanya untuk bersikap seperti pembangkang dengan bertindak atau mengeluarkan kenyataan secara melulu.-UTUSAN

KHALIL MOHD. TARMIZI
PKR Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×