SAUDARA PENGARANG,
DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, isu warga asing yang berani melanggar undang-undang di negara ini semakin mendapat perhatian umum. Fenomena ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat tempatan, tetapi juga mencetuskan perdebatan tentang punca yang mendorong mereka untuk bertindak sedemikian.
Antara punca utama adalah kelemahan penguatkuasaan undang-undang. Walaupun undang-undang digubal dengan rapi tetapi kelemahan dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan memberi peluang kepada warga asing mengambil kesempatan.
Ketidakmampuan pihak berkuasa memantau dan mengawal setiap aspek jenayah membolehkan penjenayah asing bertindak tanpa rasa takut akan ditangkap atau dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Terdapat juga faktor ekonomi yang mendorong warga asing untuk melanggar undang-undang. Kesempitan hidup di negara asal dan harapan untuk mencari kehidupan yang lebih baik sering menjadi alasan walaupun dengan cara yang tidak sah. Keadaan ini sering dieksploitasi oleh sindiket jenayah yang menawarkan pekerjaan haram kepada warga asing.
Sebilangan besar warga asing mungkin tidak mengetahui atau memahami undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di negara ini. Kekurangan maklumat dan pemahaman boleh menyebabkan mereka melanggar undang-undang tanpa menyedari kesalahan yang dilakukan. Sebagai contoh, perbezaan undang-undang mengenai kebersihan, keselamatan dan peraturan Imigresen antara negara asal boleh menyebabkan ketidakpatuhan.
Selain itu, sistem undang-undang dan keadilan yang lemah di negara asal juga boleh menjadi faktor. Warga asing yang datang dari negara yang mengalami kelemahan sistem keadilan dan undang-undang mungkin mempunyai persepsi bahawa mereka boleh terlepas daripada hukuman jika melakukan kesalahan di negara lain. Mereka mungkin terbiasa dengan sistem yang korup atau tidak efektif selain menganggap keadaan yang sama wujud di negara ini.
Jaringan sosial dan sokongan dalam kalangan komuniti asing di negara ini juga boleh menyumbang kepada keberanian untuk melanggar undang-undang dan pengaruh sindiket jenayah antarabangsa yang sering merekrut warga asing sebagai kaki tangan dalam menjalankan aktiviti jenayah.
Kelemahan dalam sistem Imigresen juga menyumbang kepada masalah ini. Pengeluaran visa dan permit kerja yang tidak dikawal dengan ketat serta kelemahan dalam pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang membolehkan ramai warga asing memasuki negara ini secara haram atau tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan. Keadaan ini memberi peluang untuk mereka terlibat dalam aktiviti haram tanpa rasa takut dikesan.
Pelbagai faktor yang saling berkaitan menyumbang kepada keberanian warga asing untuk melanggar undang-undang di negara ini. Penekanan yang lebih besar perlu diberikan terhadap penguatkuasaan undang-undang, pendidikan, kesedaran serta pemantauan yang lebih ketat terhadap kegiatan golongan ini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara ini terus terjamin.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Taman Bintang, Parit Sulong










