SAUDARA PENGARANG,
ISU setinggan masih belum berakhir. Akhir-akhir ini kerap tular dalam media tempatan dan media sosial berhubung isu rumah setinggan yang dirobohkan pihak berkuasa.
Kes terbaharu berlaku di Kampung Sri Makmur Gombak, Selangor. Isu yang di gembar-gemburkan bersifat berat sebelah selain lebih menuduh pihak berkuasa dan kerajaan negeri sebagai zalim, tiada perikemanusiaan dan sebagainya. Ini disebabkan pandangan rakyat yang seolah-olah negara kita tiada undang-undang, sedangkan ia termaktub dalam Kanun Tanah Negara 1965 (AKTA 56).
Antaranya mengatakan menceroboh tanah kerajaan adalah satu kesalahan dan boleh di denda dan di penjara. Tetapi isu ini kadang-kadang di putar belit seolah-olah isu setinggan dan tindakan perobohan rumah dijadikan bahan politik pula. Jadi, ia memerlukan penyelesaian segera sekali gus dapat menyelesaikan masalah rakyat Malaysia yang masih tiada tempat tinggal, sebagaimana banyak berlaku di negara Barat termasuk juga negara maju.
Pertama, pihak berkuasa sewajarnya mengambil langkah yang lebih kehadapan dengan notis pemberitahuan dan amaran melalui meletakkan papan tanda di tanah kosong kerajaan yang strategik mengatakan ‘tanah milik kerajaan, penceroboh boleh didakwa’. Papan tanda sebegini jarang dilihat melainkan papan tanda untuk hutan simpan sahaja.
Kedua, rondaan berkala, sekurang-kurangnya dapat menghindari pencerobohan yang berlaku selama bertahun-tahun ini. Jika tidak dilakukan, generasi baharu akan merasa selesa dan menganggap tanah yang mereka duduki adalah tanah milik sendiri.
Ketiga, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sewajarnya mempunyai simpanan tanah khusus untuk Projek Perumahan Rakyat di bandar-bandar utama. Meskipun tanah kosong kerajaan yang strategik semakin berkurangan namun sewajarnya mengutamakan simpanan tanah untuk perumahan kos sederhana dan kos rendah yang bersifat mampu milik. Golongan berpendapatan B40 dan ke bawah lebih ramai jika dibandingkan dengan M40 ke atas.
Keempat, kerajaan negeri perlu mengubah dasar Pentadbiran Tanah Negeri dengan mengurangkan pemberian atau kurniaan tanah kepada orang secara individu terutama tanah di kawasan strategik yang sepatutnya diutamakan sebagai simpanan tanah untuk perumahan rakyat. Mungkin dengan cara ini harga rumah boleh dikawal dan bersifat mampu milik kerana ia tanah milik kerajaan.-UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur









