SAUDARA PENGARANG,
PENGURUSAN dan pelajar Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pemberian baucar pembelian buku berjumlah RM100 kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sewaktu perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.
Pengumuman baucar buku ini dilihat dapat membantu pelajar KUIPs terutamanya untuk menerapkan budaya cintakan ilmu sekali gus menggunakan baucar itu untuk pembelian buku nanti.
Mekanisme pelaksanaan bagi fasa pertama yang menawarkan 50,000 e-baucar sebagai menyokong Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.
Baucar buku untuk pelajar IPT ini akan diagih mengguna e-baucar mulai 1 Jun 2024 dan kod baucar pula akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal GREaT – Graduate Reference Hub for Employment and Training (kendalian KPT) iaitu https://great.mohe.gov.my, bermula 1 Jun 2024.
Inisiatif tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pelajar IPT warganegara Malaysia yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula 1 Jun hingga 31 Disember 2024.
Manakala kaedah penebusan kod baucar yang terjana di portal GREaT hanya sah digunakan untuk pembelian buku secara atas talian di platform BookCapital, https://bookcapital.com.my sahaja dengan setiap pelajar layak menebus baucar sejumlah RM100 bagi satu kali transaksi sahaja.
Moga inisiatif ini bukan sahaja dapat menyemarakkan budaya membaca, malah turut bakal merancakkan lagi industri buku akademik dan wacana ilmiah tempatan seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri dan KPT. – UTUSAN
SAMSUDIN OLI MOHAMED
Perlis










