Kesederhanaan kunci kesejahteraan, harmoni di era globalisasi

Kesederhanaan kunci kesejahteraan, harmoni di era globalisasi

PENGANJURAN wacana akademik dapat membantu menambah kefahaman tentang ajaran Islam sebenar yang menuntut tatacara hidup sederhana selain menjauhkan diri dari kefahaman ekstrem dan ghuluw (melampau) dalam beragama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM ketidakpastian kompleksiti, kekacauan dan kontradiksi dunia global masa kini, menjadi seorang Muslim yang sederhana merupakan satu tuntutan yang mendesak. Lebih-lebih lagi selepas kejadian 9 September, agama Islam selalu dipandang negatif dalam kalangan masyarakat dan dikaitkan dengan ekstremisme.

Islam menekankan prinsip wasatiyyah. Dalam konteks ini, kesederhanaan Islam adalah penyelesaian kepada konflik dan ketegangan yang wujud dalam masyarakat global berbilang kaum dan agama.

Prof. John L. Esposito dari Pengajian Islam di Georgetown University, Amerika Syarikat (AS) dalam satu temu bual pada 2005 menyatakan ‘Muslim sederhana’ seharusnya menjadi komuniti Muslim majoriti yang berpegang teguh menolak keganasan dan ekstremisme selain bersama membina kekuatan sosial serta ekonomi di dalam kerangka masyarakat majmuk.

Prinsip-prinsip seperti keadilan, belas kasihan dan hormat kepada sesama manusia adalah identiti penting Muslim sederhana yang ditekankan dalam ajaran Islam seterusnya dapat membantu menangani isu-isu global yang semakin kompleks.

Serangan terhadap balai polis Ulu Tiram di Johor Bahru, baru-baru ini mengingatkan kita tentang pentingnya nilai kesederhanaan dan keharmonian dalam masyarakat.

Serangan ini mencerminkan ketegangan dan menunjukkan keperluan mendesak untuk pendekatan yang lebih sederhana dan inklusif dalam menangani isu-isu keselamatan serta memperkukuh perpaduan masyarakat.

Begitu juga halnya dengan beberapa pemain bola sepak yang diserang, menjadikan keadaan bertambah buruk dan menambah kegusaran masyarakat.

Dalam menghadapi situasi ini, pendekatan berteraskan kesederhanaan dapat memainkan peranan penting. Islam mengajar kita untuk menghormati pihak berkuasa, berdialog serta penyelesaian damai terhadap konflik.

Justeru, institut pendidikan tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) digalakkan memperbanyakkan wacana akademik untuk membincangkan kepentingan membentuk identiti mahasiswa dengan kefahaman sederhana dalam beragama.

Dengan adanya wacana akademik dengan perbahasan para sarjana secara langsung membantu menambah kefahaman dalam kalangan pelajar tentang kefahaman dan ajaran Islam sebenar yang menuntut tatacara hidup sederhana selain menjauhkan diri dari kefahaman ekstrem dan ghuluw (melampau) dalam beragama.

Kesederhanaan Islam menawarkan panduan berharga dalam mengatasi kompleksiti dunia global hari ini.

Dengan menerapkan prinsip moderasi Islam, kita dapat membina hubungan harmoni, mengurangkan ketegangan dan mencapai kesejahteraan bersama.-UTUSAN

AFIQAH KAMARUL
dan MUHAMMAD RAQIB MOHD. SOFIAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN