SAUDARA PENGARANG,
MAHU atau tidak, kehidupan dan aktiviti harian kita bergantung kepada penggunaan elektrik.
Jadi, apabila ‘bekerja’ menggunakan peralatan elektrik, setiap daripada kita perlu sentiasa prihatin terhadap langkah keselamatan. Hal ini amat penting memandangkan nisbah kematian terhadap kecederaan berkaitan kemalangan elektrik adalah tinggi berbanding kemalangan dalam kategori lain.
Kegagalan mematuhi langkah keselamatan akan mengakibatkan kemalangan yang serius.
Antara kemalangan yang mungkin boleh terjadi sekiranya bersentuhan dengan elektrik ialah:
Kejutan elektrik
Akibat daripada pengaliran arus elektrik yang berlebihan pada badan seseorang boleh menyebabkan fungsi tubuh seperti urat saraf, otot mahupun organ menjadi tidak normal.
Tisu badan terbakar
Kemalangan ini boleh berlaku akibat pemanasan arus elektrik yang berlebihan.
Kebakaran elektrik
Ia berpunca daripada faktor pemanasan peralatan elektrik yang berlebihan peralatan elektrik atau bersentuhan dengan bahan-bahan mudah terbakar.
Untuk mengelak daripada perkara-perkara yang tidak diingini, kita perlu melihat dan menilai punca-punca yang boleh mendorong kemalangan elektrik. Antaranya :
- Punca-punca semula jadi seperti kilat, banjir dan gempa bumi.
- Daripada tindakan manusia seperti kerosakan alat atau perkakasan elektrik pada pendawaian yang menyebabkan kebocoran elektrik.
- Kekurangan pembumian dan berlaku arus bocor.
- Kekurangan pelindung arus berlebihan seperti fius atau pemutus litar.
- Kelalaian dalam pemasangan wayar yang salah, kegagalan menguji rintangan penebat pada alatan elektrik, pendawaian tambahan tanpa kebenaran, kegagalan membaiki alat-alat elektrik yang rosak, membuat modifikasi pada alat-alat elektronik, kegagalan untuk mematuhi segala peraturan keselamatan semasa menggunakan alat-alat elektrik atau perkakasan elektrik, jarang membaik pulih, menguji peralatan atau mungkin tiada pengetahuan dalam membaikpulih dan menguji peralatan.
Oleh itu, amat penting bagi pengguna peka terhadap perihal keselamatan dan penggunaan elektrik.-UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan










