Jalani ibadah korban cara lestari

Jalani ibadah korban cara lestari

IBADAH korban perlu dilakukan dengan bertanggungjawab, lestari, menghormati kehendak Allah SWT serta menjaga keseimbangan alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

IBADAH korban yang dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha adalah sebagai tanda ketaatan dan penghormatan kepada Allah SWT. Bahkan ibadah ini merupakan antara amalan paling dicintai oleh Allah SWT.

Namun begitu, amalan ini boleh mendatangkan keburukan dan dosa sekiranya tidak didasari dengan amalan dan prosedur yang sebetulnya terutama melibatkan etika pengendalian haiwan dan pencemaran alam sekitar.

Antaranya berkaitan kebajikan haiwan dan pengurusan sisa haiwan seperti najis, darah serta daging yang tidak digunakan dan bahagian-bahagian lain daripada haiwan tersebut. Pembuangan sisa yang tidak teratur boleh mencemarkan alam sekitar.

Dari lensa Islam, Nabi Muhammad SAW memberikan gagasan dan pedoman dalam mewujudkan ibadah korban lestari. Beberapa prinsip yang diajarkan oleh Nabi Muhammad adalah sebagaimana berikut:

 Kesederhanaan dalam penggunaan sumber
Nabi Muhammad hidup dengan sederhana dan mengajarkan umatnya untuk tidak berlebihan dalam apa-apa jua perkara termasuk penggunaan sumber alam semula jadi. Baginda menekankan pentingnya berlaku adil dalam pemakaian sumber alam dan menghindari amalan pembaziran terutamanya penggunaan sumber makanan seperti daging haiwan dan sumber asli seperti air.

 Ihsan terhadap haiwan
Nabi Muhammad memberi ajaran yang menyuruh untuk umatnya memperlakukan haiwan dengan ihsan dan penuh kasih sayang. Beliau mengajarkan pentingnya memberi makan, minum dan merawat haiwan dengan baik. Begitu juga mempermudahkan urusan penyembelihan.

 Kebersihan tempat korban
Baginda mengajarkan pentingnya pengelolaan yang baik termasuklah dalam pengurusan kebersihan lokasi penyembelihan. Hal ini berikutan kebersihan merupakan asas dan gagasan yang sentiasa dipupuk dalam Islam.

Amalan kebersihan yang baik mencegah penularan penyakit dari haiwan ke manusia. Patogen dapat menular melalui daging yang tercemar jika haiwan tidak diurus dengan betul sebelum, semasa dan selepas proses penyembelihan. Kebersihan yang baik juga membantu dalam mengekalkan kualiti daging termasuk rasa, tekstur dan nilai nutrisi.

 Keselamatan Makanan
Pengambilan makanan bukan sahaja untuk kepentingan fizikal tetapi juga spiritual. Makanan yang bersih dan halal amat penting bagi menjaga kesihatan dan mengelakkan sebarang kemudaratan.

 Pengurusan Sisa
Sisa sembelihan yang berbentuk pepejal dan cecair perlu diurus dengan cermat. Islam amat menekankan aspek pengurusan sisa makanan bagi mengelakkan penyakit dan kekotoran, memastikan kesejahteraan komuniti muslim, menjaga kebersihan diri, rumah ibadah dan alam sekitar serta ia merupakan satu tanggungjawab sosial.

Dengan mengamalkan prinsip-prinsip ini, umat Islam dapat menjalankan ibadah korban dengan bertanggungjawab dan lestari, menghormati kehendak Allah SWT serta menjaga keseimbangan alam.-UTUSAN

DZULFAIDHI HAKIMIE DZULRAIDI dan DR. MOHD ISTAJIB MOKHTAR
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN