Atlet profesional perlu dilindungi dengan lebih baik

Atlet profesional perlu dilindungi dengan lebih baik

SERANGAN disimbah asid bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal yang parah tetapi juga trauma mendalam yang mempengaruhi mental dan emosi Faisal Halim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG.

TRAGEDI yang menimpa Pemain Bola Sepak Kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim merupakan satu tamparan hebat kepada industri sukan negara.

Di sebalik glamor dan pendapatan lumayan, kejadian simbah asid ini meningkatkan risiko keselamatan yang dihadapi oleh atlet profesional.

Faisal bukan hanya pemain, tetapi juga aset negara yang sukar untuk diperoleh. Faisal merupakan pelaburan masa dan sumber yang besar bagi sukan dan kebanggaan nasional.

Serangan ini bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal yang parah tetapi juga trauma mendalam yang mempengaruhi mental dan emosi Faisal.

Gangguan tekanan pasca-trauma dan kesan psikologi lain memerlukan intervensi yang serius melalui terapi dan sokongan emosi.

Kesan ini bukan hanya terhad kepada dirinya tetapi juga mempengaruhi atlet lain di pelbagai sukan yang kini mungkin merasa cemas dan tidak selamat.

Jenayah yang dilakukan ke atas Faisal harus dikenakan dengan tindakan undang-undang yang berat.

Penting untuk menghantar mesej yang jelas bahawa keganasan terhadap atlet tidak akan diberi toleransi.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta badan-badan berkaitan, perlu mengambil langkah cepat dan tegas dalam menyiasat mahupun menghukum individu yang bertanggungjawab.

Kejadian ini menekankan keperluan untuk polisi keselamatan yang lebih komprehensif di tempat latihan dan pertandingan serta dalam kehidupan seharian. Ini termasuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya insurans nyawa dan penyediaan sumber untuk kecemasan.
Setiap peminat dan penyokong bola sepak harus memainkan peranan dalam menjaga moral dan etika dalam menyokong.

Provokasi, ucapan kebencian atau tindakan ekstrem terhadap pemain hanya akan merosakkan semangat sukan dan boleh menyebabkan tragedi.

Adalah penting bagi semua pihak untuk menghormati atlet dan menghargai usaha mereka tanpa menimbulkan tekanan atau ancaman.

Kita perlu membangunkan budaya sukan yang selamat supaya atlet dapat bersaing dan berprestasi tanpa ketakutan.

Marilah kita semua, sebagai sebahagian dari komuniti sukan, bekerja bersama untuk menciptakan lingkungan yang mendukung dan melindungi bakat serta kesejahteraan atlet selain memastikan mereka boleh mencapai potensi penuh dalam suasana yang aman dan positif.-UTUSAN

DR. WAN AHMAD MUNSIF WAN PA
Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×