SAUDARA PENGARANG,
MENJELANG peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), guru-guru biasanya memainkan peranan penting dalam membantu pelajar mencapai kejayaan. Pelbagai inisiatif seperti kelas tambahan, seminar dan bengkel dianjurkan dengan tujuan agar pelajar dapat menjawab soalan dengan tepat.
Namun demikian, jika semua usaha ini dilaksanakan tanpa mengambil kira prestasi setiap pelajar, matlamat utama mungkin tidak tercapai. Oleh itu, pendekatan yang lebih berfokus perlu dilaksanakan untuk memastikan semua pelajar mendapat manfaat yang maksimum.
Pada asasnya, penting bagi guru mengenal pasti tahap pencapaian setiap pelajar. Pelajar yang cemerlang dan berpotensi mendapat A+ memerlukan kaedah pengajaran berbeza berbanding mereka yang mendapat markah 10 hingga 40. Pelajar cemerlang mungkin memerlukan cabaran yang lebih tinggi untuk merangsang pemikiran kritis manakala yang lemah memerlukan bimbingan yang lebih asas dan khusus untuk memperkukuhkan konsep asas.
Selain itu, pengasingan pelajar mengikut kebolehan boleh dilakukan semasa seminar dan bengkel. Dengan cara ini, setiap kumpulan pelajar akan mendapat perhatian yang sesuai dengan tahap pencapaian mereka.
Di samping itu, kaedah pengajaran yang berbeza perlu digunakan untuk setiap kumpulan pelajar. Bagi pelajar cemerlang, guru boleh menggunakan teknik pembelajaran kolaboratif dan perbincangan yang lebih mendalam. Mereka boleh diberikan soalan-soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sementara bagi pelajar lemah, pendekatan yang lebih praktikal dan berulang mungkin diperlukan. Contohnya, penggunaan alat bantu mengajar seperti gambar rajah, peta minda dan latihan bertulis boleh membantu memperkukuhkan pemahaman mereka.
Tambahan pula, guru juga boleh melibatkan pelajar cemerlang untuk membantu rakan-rakan mereka yang kurang cemerlang melalui program mentor-mentee.
Secara keseluruhannya, kerjasama antara guru, ibu bapa dan pelajar adalah kunci kejayaan. Ibu bapa perlu dilibatkan dalam proses pembelajaran anak-anak mereka dan diberi panduan tentang bagaimana mereka boleh membantu di rumah. Komunikasi yang berkesan antara guru dan ibu bapa boleh membantu mengenal pasti masalah awal dan mencari penyelesaian yang berkesan.
Dengan kerjasama yang erat, setiap pelajar mempunyai peluang yang lebih baik untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan awam. Dengan pendekatan yang berfokus dan disesuaikan mengikut kebolehan pelajar, usaha guru-guru dalam membantu pelajar menghadapi peperiksaan awam dapat mencapai hasil yang lebih baik.
Semua pelajar, sama ada yang cemerlang atau yang memerlukan bimbingan tambahan, akan mendapat manfaat yang maksimum dan bersedia untuk menghadapi cabaran peperiksaan dengan lebih yakin.-UTUSAN
NOR AZIRAH A.R
SMK Dengkil, Selangor









