SAUDARA PENGARANG,
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini merupakan medan bagi menguji calon yang dipertaruhkan dengan pertarungan empat penjuru.
Melihat keseluruhan komitmen Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), masing-masing meletakkan calon yang mampu memberi kesan besar terhadap sokongan undi sama ada akan mengekalkan kerusi yang pernah dimiliki DAP ataupun PN mampu memberikan cabaran hebat buat calon daripada DAP.
Calon yang tepat amat penting bagi memastikan mereka mampu menarik sokongan pengundi terutama apabila peratusan pengundi Melayu dan bukan Melayu hampir sama. Ini kerana sokongan terhadap undi tersebut akan menentukan kemenangan majoriti walaupun tipis.
Beberapa isu yang melanda negara khususnya terkait dengan kaum dan agama serta berita palsu yang cuba dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab perlu ditangkis oleh calon agar mereka juga tidak terpalit dengan isu-isu ini.
Kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang berada di bawah Parlimen Hulu Selangor merupakan medan bagi mengukur sejauh mana keberkesanan dasar dan program kerajaan negeri yang telah dilaksanakan mampu memberikan kesan positif terhadap sokongan pengundi di kawasan tersebut.
Selain dari calon yang bertanding dan dasar kerajaan negeri, elemen pemerkasaan hubungan kaum yang kukuh perlu dilihat sebagai faktor penting bagi memastikan sokongan rakyat dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu dapat dicapai.
Beberapa insiden yang terkait dengan ketidakpuasan segelintir rakyat perlu diselesaikan segera dengan pelbagai jalan rundingan agar isu tersebut tidak mempengaruhi pengundi lain.
Bagi memastikan kemenangan calon yang bertanding di dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu, jentera parti perlu memastikan setiap gerak kerja perlu tersusun dan maklumat tepat terhadap pencapaian dan kejayaan negeri dapat disampaikan segera.
Justeru, penyampaian maklumat mestilah sesuai dengan kumpulan sasaran dan kempen menanam keyakinan pengundi pada saat ini sangat diperlukan bagi memastikan kemenangan majoriti bergaya.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu tidak boleh dipandang mudah oleh pihak yang bertanding memandangkan masing-masing mempunyai kekuatan dan jentera yang pasti mendatangkan cabaran sengit. -UTUSAN
DR. ZURAIMY ALI
Penulis Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis










