SAUDARA PENGARANG,
PERKEMBANGAN teknologi kecerdasan buatan (AI) pada hakikatnya sejajar dengan tuntutan Islam yang menggalakkan umatnya untuk menuntut ilmu sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Alaq (96:1-5) yang merupakan ayat pertama diwahyukan kepada Nabi Muhammad tentang kepentingan menuntut ilmu.
Ayat tersebut merupakan saranan penting untuk terus mendalami ilmu yang semakin berkembang sejajar dengan perkembangan masa dan zaman.
Ilmu berkaitan AI tidak pernah wujud sewaktu wahyu Allah diturunkan tetapi ia bukan bersifat bidaah untuk dipelajari, bahkan merupakan hajiyyat atau keperluan yang selari dengan Maqasid al-Syariah untuk meningkatkan tahap intelek manusia pada tahap tertinggi dalam menjadi khalifah Allah yang berpengetahuan.
Ilmu berkaitan sains dan teknologi seperti Teori Penciptaan Bumi atau Teori Big Bang, ilmu biologi tentang penciptaan manusia, kegelapan dalam laut dan cakerawala merupakan antara contoh ilmu sains yang dinyatakan dalam al-Quran. Malah penceritaan Allah terhadap kisah Nabi Daud yang dibekalkan dengan ilmu teknologi pembuatan baju besi dalam surah al-Anbiya juga benar.
Walaupun AI merupakan satu teknologi dan cabang ilmu baharu kepada sesetengah masyarakat, namun ia harus diterima dengan hati terbuka dan perlu melengkapkan diri dengan ilmu AI secara komprehensif.
Pendekatan Maqasid al-Syariah yang meletakkan ilmu sebagai kriteria penting bagi setiap individu dan masyarakat merupakan jaminan Allah untuk mengangkat tinggi martabat dan generasi yang berilmu.
Justeru itu dengan wujudnya platform AI Untuk Rakyat, ia merupakan pemangkin untuk seluruh rakyat Malaysia mempelajari ilmu berkenaan yang semakin berkembang dan memerlukan kemahiran ilmu, etika dan kebijaksanaan dalam mengendalikannya.-UTUSAN
DR. ARIYANTI MUSTAPHA
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya










