SAUDARA PENGARANG,
PARA tetamu Allah yang terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini mula membuat persiapan untuk berangkat ke tanah suci. Selain daripada persiapan barang-barang keperluan seharian yang hendak dibawa para tetamu Allah diingatkan supaya memperbetulkan niat ke tanah suci. Ini dapat dilakukan dengan berazam dan bertekad untuk melaksanakan semua ibadat dengan ikhlas demi semata-mata kerana Allah.
Baginda Nabi juga pernah menyatakan bahawa setiap amalan itu bergantung kepada niat. Niat memberi kesan kepada sesuatu amalan yang dilakukan. Ini kerana niat yang membezakan antara ibadat dengan adat kebiasaan manusia. Niat juga yang membezakan antara ibadah fardu dengan ibadah sunat.
Apatah lagi jika diteliti ibadah haji adalah kemuncak kepada ibadah dan lambang perhambaan yang tidak berbelah-bahagi apabila seseorang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit. Malah niat yang betul penting untuk memperoleh ganjaran haji mabrur yang dijanjikan dengan balasan syurga dari Allah.
Sungguhpun dalam pelaksanaan haji, niat hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan kerja-kerja haji tetapi ia sangat penting dalam menentukan sah atau tidak amalan haji yang dikerjakan. Begitu pula niat yang menentukan apakah jenis haji yang akan dipilih.
Jika memilih untuk memulakan kerja haji dengan melakukan umrah maka jadilah jenis hajinya sebagai haji tamattuk. Jika seseorang hanya berniat haji ketika di miqat maka jadilah hajinya sebagai haji ifrad. Manakala jika seseorang memasang niat umrah dan terdapat halangan untuk menyelesaikan kerja-kerja umrah lalu menukar niatnya kepada niat haji sebelum berwukuf maka jadilah hajinya haji qiran.
Para tetamu Allah juga diingatkan supaya mengambil berat tentang hukum berniat ini. Jika tidak berniat ketika di Miqat Qarnul Manazil bagi penerbangan yang dijadualkan terus ke Mekah ataupun tidak berniat di Masjid Bir Ali dalam perjalanan daripada Madinah ke Mekah akan dikenakan dam menyembelih seekor kambing dan dikira berdosa jika sengaja tidak berniat di Miqat.
Jenis dam ini dikenali sebagai dam tertib dan takdir yang jika tidak mampu menyembelih kambing hendaklah berpuasa 10 hari iaitu tiga hari di masa haji dan 7 hari apabila pulang ke tanah air, sekiranya tidak mampu hendaklah dikeluarkan 10 cupak makanan asasi dan jika tidak berdaya juga, maka tertanggunglah zimmah ke atasnya.
Sebelum berangkat ke tanah suci eloklah dipenuhi dengan mengulangkaji ilmu haji dan umrah yang telah dipelajari dalam Kursus Asas Haji anjuran Bahagian Bimbingan Tabung Haji yang diadakan di setiap negeri. Begitu pula bagi yang akan menyertai praktikal haji dalam Kursus Perdana Haji hendaklah mengambil peluang untuk bersungguh-sungguh melakukan latihan amali tatacara pelaksanaan haji bagi memastikan kelancaran ibadah haji sebenar di tanah suci.
Bagi yang telah membuat rayuan tetapi tidak terpilih untuk mengerjakan haji pada tahun ini usah berduka cita dan bersedih hati. Mereka disarankan agar memasang niat dan tekad bersungguh-sungguh untuk terus menyimpan duit di Tabung Haji selain berdoa agar suatu masa terpilih mendapat jemputan untuk mengerjakan haji.-UTUSAN
DR. MOHD. ALI MUHAMMAD DON
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.









