SAUDARA PENGARANG,
GURU pada era digital perlu memahami peranan mereka sebagai Jauhari Digital yang membimbing pelajar menghadapi cabaran teknologi dengan bijak. Mereka tidak hanya mengajar subjek tetapi juga bertindak sebagai model peranan dalam penggunaan teknologi untuk tujuan pendidikan yang positif.
Dengan memahami landskap digital, guru dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang memupuk kemahiran digital dan menggalakkan kesedaran tentang etika dalam penggunaan teknologi.
Sebagai Jauhari Digital, guru perlu memiliki kemahiran digital yang kukuh untuk menyokong pembelajaran atas talian dan penggunaan alatan digital dalam proses pengajaran. Ini termasuk kebolehan menyusun bahan pembelajaran yang interaktif, merangsang serta menggunakan platform digital untuk memberikan maklum balas yang berkesan kepada pelajar.
Guru perlu mahir dalam mengintegrasikan teknologi ke dalam kurikulum untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar, membolehkan mereka berinteraksi dengan bahan pembelajaran secara lebih dinamik dan memahami konsep dengan lebih mendalam melalui pelbagai sumber dan aktiviti yang disediakan secara atas talian.
Guru Jauhari Digital memegang peranan penting dalam membimbing pelajar dalam penggunaan teknologi dengan bertanggungjawab dan etika. Mereka tidak hanya mengajar teknologi, tetapi juga memupuk kesedaran akan impaknya terhadap individu dan masyarakat.
Kerajaan perlu memberikan sokongan yang kukuh dalam usaha guru menjadi Jauhari Digital dengan menyediakan latihan yang berkualiti serta sumber yang mencukupi. Ini termasuk peningkatan kapasiti guru dalam penggunaan teknologi, membolehkan mereka mengintegrasikan alat digital ke dalam pengajaran mereka dengan lebih efektif.
Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan akses kepada infrastruktur digital yang berkualiti di seluruh negara, memastikan bahawa semua guru dan pelajar dapat mengakses sumber pendidikan dalam talian tanpa halangan. Tindakan ini penting untuk memastikan kemajuan pendidikan yang seimbang dan merata di seluruh negara.-UTUSAN
NOR AZIRAH A.R
SMK Dengkil, Selangor










