SAUDARA PENGARANG,
PENGUMUMAN kenaikan peratusan memberikan satu sinar baharu kepada penjawat awam. Ini kerana mereka merupakan salah satu agen pembangunan dan kerancakan ekonomi tempatan.
Peningkatan pendapatan isi rumah mampu menurunkan isu psikologi dan mental. Melalui pendapatan yang mencukupi, sebuah isi rumah mampu hidup dengan lebih selesa dan dijangka dapat memulihkan jarak dalam perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat kesan daripada inflasi yang acap kali di luar kawalan.
Kenaikan gaji penjawat awam, dilihat satu pendekatan yang sangat bijak dan mampu memberikan spill over effect kepada ekonomi negara secara menyeluruh. Dalam mencapai ekonomi yang mampan, sesebuah institusi ekonomi memerlukan kerancakan dalam transaksi pembelian dan jualan supaya peniaga mikro kecil dan sederhana (PMKS) mempunyai platform dalam jualan.
Dengan kenaikan pendapatan isi rumah dari warga penjawat awam juga berkemampuan meningkatkan penawaran pekerjaan kesan daripada peningkatan pembelian demand of goods daripada pengguna. Dalam keadaan positif ini, kadar pengangguran dalam negara akan menurun.
Walau bagaimanapun para peniaga tidak wajar mengambil kesempatan dalam keadaan ini dengan menaikkan harga barang dengan tidak rasional. Rakyat Malaysia haruslah matang dan menggunakan peluang ini untuk kebaikan bersama demi ekonomi jangka panjang dan bukannya mengambil mengambil kesempatan semata. Ini kerana setiap lonjakan yang disasarkan dan diharapkan mestilah mendapat sokongan dari semua institusi dan agen dalam ekonomi.
Ekonomi Madani yang berlandaskan people centric dilihat sangat berkesan dan bersesuaian dalam pembangunan dalam pelbagai sudut. Ketetapan kenaikan ini seharusnya diraikan bersama. Ia merupakan ‘durian runtuh’ dan berita gembira untuk setiap lapisan rakyat Malaysia.
Secara tuntasnya, ketetapan ini akan memberi impak yang besar dalam memacu ekonomi yang mampan. Pendekatan kerajaan dilihat sangat inklusif, menyeluruh dan saksama dengan empat instisusi ekonomi negara iaitu,kerajaan, institusi kewangan, swasta atau firma dan isi rumah mendapat faedah bersama. – UTUSAN
DR. NUR SURAYYA MOHD. SAUDI
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)










